PARIS, 21 OKT – Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, berganding bahu dengan isterinya Carla Bruni-Sarkozy, berjalan menyusuri lorong rumahnya hari ini sebelum menuju ke penjara.
Beliau bakal jalani hukuman bagi konspirasi jenayah untuk membiayai kempen pilihan raya 2007 dengan dana dari Libya dan menjadi bekas pemimpin Perancis moden pertama yang akan dipenjarakan.
Sarkozy membantah kedua-dua sabitan dan keputusan luar biasa hakim untuk memenjarakannya sementara menunggu rayuan.
Sarkozy dan isterinya berjalan perlahan di hadapan kumpulan wartawan untuk menyertai keluarganya yang menunggu di luar rumah. Dia melambai ke arah sekumpulan penyokong sebelum masuk ke dalam keretanya.
Beratus-ratus penyokong berkumpul di kejiranan Paris mewah tempat tinggal Sarkozy, bertepuk tangan dan melaungkan “Nicolas, Nicolas” dan menyanyikan lagu Perancis.
Dua bendera Perancis telah digantung di pagar berdekatan, dengan tulisan: “Nicolas yang berani, kembali segera” dan “Perancis sejati dengan Nicolas.”
Anak lelaki dan perempuan Sarkozy, Jean, Pierre, Louis dan Giulia, serta cucu-cucunya muncul di perhimpunan itu.
Peguam Sarkozy berkata bekas presiden itu akan ditahan dalam kurungan bersendirian, di mana dia akan dijauhkan daripada semua banduan lain atas sebab keselamatan.
“Saya tidak takut penjara. Saya tidak akan tunduk kepala semasa di hadapan pintu La Santé,” kata Sarkozy kepada akhbar La Tribune Dimanche. “Saya akan berjuang sehingga akhir.”
Akhbar itu berkata, Sarkozy telah menyediakan beg pakaian dan 10 gambar keluarga yang dibenarkan dibawa.
Sarkozy juga memberitahu akhbar Le Figaro bahawa dia akan membawa tiga buah buku termasuk The Count of Monte Cristo karya Alexandre Dumas, di mana wira itu melarikan diri dari penjara pulau sebelum membalas dendam.
Hakim memutuskan bahawa Sarkozy akan mula menjalani hukuman penjara tanpa menunggu rayuannya didengar kerana, “keseriusan gangguan kepada ketenteraman awam yang disebabkan oleh kesalahan itu.”
Di bawah keputusan itu, Sarkozy yang berusia 70 tahun hanya boleh failkan permohonan untuk dibebaskan sebaik sahaja berada di dalam penjara, dan hakim mempunyai masa sehingga dua bulan untuk memprosesnya. – AP


