PARIS, 13 OKT – Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, hari ini dijangka akan mengetahui bila dan di mana beliau akan menjalani hukuman penjara atas kesalahan konspirasi jenayah berhubung dakwaan penggunaan dana dari Libya untuk membiayai kempen kemenangannya pada pilihan raya 2007.
Sarkozy merupakan bekas presiden pertama dalam sejarah moden Perancis yang akan dipenjarakan. Beliau menegaskan dirinya tidak bersalah dan membantah keputusan untuk memenjarakannya sementara menunggu proses rayuan.
Pejabat Pendakwa Kewangan Negara (PNF) akan memaklumkan kepada Sarkozy, 70 tahun, lokasi penjara dan tarikh beliau perlu melapor diri, dalam satu pertemuan rasmi ringkas pada petang hari ini.
“Kami akan beritahu beliau tarikh, tempat dan masa beliau perlu berada di sana,” kata Setiausaha Agung dan jurucakap PNF, Berenice Dinh.
Namun, pihak PNF tidak bercadang mendedahkan maklumat tersebut kepada umum bagi mengelakkan Sarkozy dirakam media ketika awal tempoh pemenjaraannya.
Walaupun telah lama bersara daripada politik aktif, Sarkozy masih berpengaruh dalam kalangan konservatif. Beliau pernah menjadi presiden dari 2007 hingga 2012. Sebelum ini, beliau pernah disabitkan kesalahan dalam satu lagi kes rasuah, namun tidak perlu menjalani hukuman penjara.
Sarkozy dijangka akan dipenjarakan di bawah syarat khas untuk tahanan berprofil tinggi, kemungkinan di kawasan VIP Penjara La Sante di Paris, tempat di mana beberapa penjenayah terkenal Perancis pernah dipenjarakan. – AP









