ABIDJAN, 15 JAN – Pemain Terbaik Afrika, Victor Osimhen, menjaringkan gol untuk Nigeria ketika mereka kecewa dalam keputusan seri 1-1 Piala Negara-negara Afrika Kumpulan A dengan Equatorial Guinea di Abidjan, kelmarin.
Osimhen menyamakan kedudukan pada separuh masa pertama selepas Iban Edu membuka jaringan dalam perlawanan yang berakhir dengan kedua-dua pasukan mengutip
satu mata, kurang dua mata daripada pendahulu dan tuan rumah Ivory Coast.
Pertandingan bola sepak Afrika yang berlangsung setiap dua tahun itu bermula pada Sabtu lalu dengan Ivory Coast menewaskan Guinea-Bissau 2-0 di stadium yang sama.
Nigeria, yang berada di kedudukan 46 lebih tinggi daripada Equatorial Guinea dalam ranking dunia, telah dijangka memulakan kempen mereka untuk gelaran keempat Piala Afrika, dengan satu kemenangan.
“Kami berharap untuk memenangi perlawanan ini dan kami melakukan segala-galanya untuk menang. Pasukan kami lebih baik daripada Equatorial Guinea tetapi kami tidak bernasib baik,” kata jurulatih Nigeria, Jose Peseiro.
Semenetara itu, jurulatih Equatorial Guinea, Juan Micha berkata, “Masih banyak yang perlu kami lakukan.
Kami berada di peringkat kumpulan dan ini adalah perlawanan pertama. Kami akan berusaha untuk mara ke peringkat seterusnya.”
Memandangkan begitu banyak perhatian sebelum perlawanan tertumpu pada Osimhen, wajarlah bintang yang pernah menjual surat khabar di jalan-jalan Lagos yang sibuk untuk mencari rezeki, menjadi pemain pertama untuk memberikan ancaman.
Merebut peluang di luar kotak penalti pada minit kelima, penyerang Napoli itu menghasilkan penyudah luar biasa apabila sepakannya melepasi palang. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/01/P22-3C_16012024.jpg)