Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nigeria larang eksport kacang syea mentah

    LAGOS, NIGERIA, 29 OGOS – Kerajaan Nigeria telah mengharamkan eksport kacang syea mentah, bahan mentah penting dalam kebanyakan produk kosmetik, dalam usaha untuk mengembangkan ekonomi negara itu menjadi pembekal global mentega syea dan bahan penjagaan kulit yang lain.

    Larangan yang berkuat kuasa serta-merta terhadap tanaman itu akan dilaksanakan selama enam bulan dan kemudian dikaji semula, kata Naib Presiden, Kashim Shettima.

    Nigeria mengikuti senarai negara Afrika Barat lain, termasuk Burkina Faso, Mali, Togo, Ivory Coast dan Ghana, yang telah melarang atau menyekat eksport tanaman itu sejak dua tahun lalu.

    “Larangan itu akan mengubah Nigeria daripada pengeksport kacang syea mentah kepada pembekal global mentega syea, minyak dan derivatif lain,” kata Shettima pada Selasa.

    Beliau menambah keputusan itu bukan ‘dasar anti-perdagangan tetapi dasar penambahan nilai bertujuan untuk mendapatkan bahan mentah untuk kilang pemprosesan kami’ selain meningkatkan pendapatan dan pekerjaan untuk pekerja luar bandar.

    Kacang syea mentah ditumbuk dan diproses untuk menghasilkan mentega syea, bahan utama untuk penghasilan produk seperti losen, syampu, perapi dan pelembap.

    “Ia adalah salah satu bahan asas yang paling penting untuk penjagaan kulit, lebih-lebih lagi semakin ramai orang cenderung mengamalkan penjagaan kulit tidak toksik,” kata Zainab Bashir, pakar dermatologi yang berpangkalan di Abuja.

    Walaupun Nigeria menyumbang 40 peratus daripada bekalan tanaman dunia, ia menyumbang hanya satu peratus daripada bahagian pasaran global bernilai AS$6.5 bilion dalam produk syea, menurut naib presiden.

    Langkah itu diambil beberapa minggu selepas negeri Niger utara membuka kilang pemprosesan mentega syea yang disifatkan pegawai sebagai salah satu yang terbesar di Afrika. – AP

    Pelanggan membeli mentega syea di tepi jalan di Abuja, Nigeria. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda