Nigeria sahkan kematian pegawai FIFA

ABUJA, 31 MAC – Nigeria pada Rabu mengesahkan kematian pegawai Zambia yang berkhidmat sebagai pegawai kawalan doping untuk perlawanan kedua pusingan kelayakan Piala Dunia FIFA 2022 antara Nigeria dan Ghana pada Selasa, lapor Xinhua.

Pegawai itu, dikenali sebagai Joseph Kabungo, meninggal dunia akibat serangan jantung selepas perlawanan di Stadium Moshood Abiola di Abuja pada petang Selasa, kata Persekutuan Bola Sepak Nigeria (NFF) dalam satu kenyataan.

“Kabungo ditemui tercungap-cungap berhampiran bilik persalinan pasukan Ghana,” kata NFF sambil menambah beliau dikatakan mencari pemain Ghana untuk melakukan ujian doping apabila sesak nafas.

Beliau dikejarkan ke hospital tempatan tetapi meninggal dunia sebaik tiba, kata NFF.

Pegawai NFF, pasukan perubatan dan pegawai Suruhanjaya Tinggi Zambia mengadakan mesyuarat pada pagi Rabu untuk memutuskan tindakan seterusnya selepas kematian Kabungo, kata sumber kepada Xinhua.

Perlawanan itu berkeputusan seri 1-1 dengan Ghana melayakkan diri ke pusingan kelayakan berikutnya bagi Piala Dunia.

Perlawanan berakhir dengan kekecohan apabila penyokong Nigeria yang marah dengan pasukan mereka menceroboh masuk ke padang. – Bernama