Nike kurangkan ramalan jualan

NEW YORK, 24 SEPT – Nike mengurangkan ramalan jualannya semalam, merujuk kepada pelbagai masalah rantaian bekalan yang menangguhkan penghantaran pakaian sukan dan menjangka mengurangkan jualan untuk beberapa suku akan datang.

Syarikat gergasi sukan itu sedang berdepan masa perkapalan yang meningkat dua kali ganda dari pusat pengeluaran Asia ke Amerika Utara, serta penutupan ki-lang utama di Vietnam dan Indonesia disebabkan sekatan kerajaan tempatan berpunca dari COVID-19, kata Ketua Pegawai Kewangan, Matt Friend semasa sidang video bersama penganalisis.

Keadaan perkapalan adalah teruk sepanjang 2021 dan ‘bertambah buruk’ dalam suku terakhir, kata Friend, merujuk kepada tunggakan pelabuhan, kesesakan kereta api dan kekurangan pekerja.

“Kehilangan pengeluaran berminggu lamanya dengan masa transit lebih lama akan mendorong kepada kekurangan inventori jangka pendek di tempat pasaran untuk tempoh beberapa suku akan datang,” katanya. “Kami menjangka semua geografi akan terkesan oleh masalah berkenaan.”

Syarikat kini menjangka pertumbuhan jualan fiskal 2022 dalam ‘satu digit’ berbanding dengan prospek sebelumnya untuk ‘pertumbuhan digit berganda,’ kata Friend. – AFP

Kelihatan logo Nike di kedai Nike di 5th Avenue di Bandar New York. Nike mengurangkan ramalan jualannya kelmarin disebabkan pelbagai masalah rantaian bekalan yang menangguhkan penghantaran pakaian sukan. – AFP