Pelakon Indonesia, Nikita Willy selamat melahirkan cahaya mata kedua di Amerika Syarikat (AS) pada Ahad lalu.
Memetik laporan mStar, berita gembira itu dikongsi sendiri oleh Nikita atau Nikita Purnama Willy, 30, yang teruja menyambut kelahiran anak lelaki diberi nama Nael Idrissa Djokosoetono.
“Tanggal 15 Disember 2024, Nael Idrissa Djokosoetono selamat dilahirkan, dibuat dalam kehangatan dikelilingi oleh individu tersayang,” katanya.
Nikita berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya kelmarin.
Dalam perkongsian tersebut, Nikita dipercayai melahirkan Nael di kediaman mereka menggunakan teknik bersalin dalam air.
Pelakon Indonesia itu turut berkongsi foto saat dia melahirkan di dalam sebuah tab mandi.
Pada Jun lalu, Nikita memaklumkan dia sedang hamil anak kedua dan memberitahu usia kandungan sudah memasuki tiga bulan.
Sebelum itu, Nikita pernah mengalami keguguran ketika usia kandungan memasuki tujuh minggu dan ia berlaku pada Januari lalu.
Untuk rekod, Nikita berkahwin dengan Indra Priawan pada 16 Oktober 2020.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Issa Xander Djokosoetono, 2, yang dilahirkan di Hospital Cedars-Sinai Medical Center, Los Angeles.
Walaupun tidak menetap di AS namun pelakon itu memilih bersalin di luar negara kerana ingin belajar lebih peka dalam menjadi ibu bapa lebih baik. – Agensi