Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nikki Palikat mahu lari seketika dari dunia muzik

    Penyanyi Malaysia, Nikki Palikat belum berkesempatan mengambil cuti rehat selepas program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) tamat pada awal Disember tahun lalu.

    Memetik laporan mStar, Nikki atau Nicolette Louise Palikat, 39, berkata selepas tiga bulan bersaing beliau merasakan sudah tiba masa beliau berehat daripada semua aktiviti berkaitan muzik buat seketika.

    “Sepanjang tiga bulan dengar muzik tanpa henti, jadual padat membuatkan saya rasa perlu masa untuk healing… Kalau boleh saya tak mahu dengar muzik langsung!

    “Tapi sampai sekarang belum sempat nak berehat cuma cuti sekejap bagi menyambut Hari Krismas bersama.

    “Itu pun sudah cukup membantu saya dari segi emosi untuk menghilangkan rasa penat,” katanya kepada mStar.

    Walaupun sibuk dengan aktiviti seni, Nikki memberitahu beliau ada cara tersendiri bagi mengurangkan tekanan.

    Menurut Nikki meditasi adalah amalan terbaik supaya beliau berehat seketika dan kembali memberi fokus terhadap kerjaya.

    “Saya akan kawal diri sendiri supaya tidak tertekan. Jika ada masa saya rasakan terlalu tertekan saya akan ambil masa rehat seketika.

    “Kalau ada peluang saya amalkan meditasi. Paling bagus jika dilakukan pada waktu pagi dan sebelum tidur. Saya dapat rasakan sendiri perbezaan apabila melakukan meditasi.

    “Jika terlalu sibuk sehingga tidak sempat nak meditasi memang akan ganggu kehidupan sehingga boleh dapat mimpi buruk. Otak kita tidak akan rehat kalau terlalu banyak fikir walaupun mendapat waktu tidur yang lama,” ujarnya.

    Sementara itu bercakap tentang kerjaya, Nikki kini sedang giat mempromosikan lagu terbaharu berjudul Usah Najiskan Cinta Ini yang sudah mula dilancarkan sejak November tahun lalu.

    Biarpun perkataan ‘najis’ yang digunakan dalam tajuk berkenaan mengundang kontroversi, bagi Nikki itu merupakan satu ekspresi menggambarkan pengalaman pahit dalam bercinta.

    “Pada awalnya tajuk itu mendapat tentangan beberapa pihak, namun Ajai (komposer) tetap berkeras ia digunakan. Saya rasa itu adalah pilihan artistik seorang komposer.

    “Mungkin hanya psikologi pendengar yang tidak biasa dan anggap ia kesat. Perkataan najis banyak digunakan dan dalam lagu ini ia menepati situasi yang digambarkan,” jelasnya. – Agensi

    Nikki Palikat akui bersaingan di pentas ASGV bukan sesuatu yang mudah. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda