Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nikmat air tanggungjawab semua

    Oleh Nurdiyanah R.

    Air merupakan sumber kehidupan yang penting bagi semua makhluk. Tanpa air, haiwan-haiwan akan mati, tanah akan menjadi tandus dan gersang menyebabkan tumbuh-tumbuhan yang sebelumnya tumbuh segar menghijau akan layu dan kering hingga akhirnya mati.

    Hakikatnya, kita masih kurang menghargai kepentingan air dan terus mengeksploitasi penggunaannya dari semasa ke semasa. Jika penggunaan air tidak dikawal, sedar atau tidak sedar, hal ini pastinya akan mewujudkan berlakunya isu pembaziran dan juga boleh menimbulkan masalah tahap kualiti air disebabkan pencemaran alam sekitar yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Nadi kehidupan, tanggungjawab bersama

    Oleh yang demikian, dalam menyentuh mengenai kepentingan air sebagai nadi kehidupan kita secara keseluruhannya, maka kelestarian sumber air harus dijadikan keutamaan di setiap negara mahu pun di mana pun keberadaan kita bagi memastikan air yang ada, mencukupi dan selamat untuk kegunaan semua.

    Menjadi tanggungjawab kita juga sebagai manusia untuk memelihara sumber utama kita untuk mengelakkan ianya daripada tercemar dan menjejaskan kualitinya. Antaranya tidak melakukan pencemaran ke atas alam sekitar dengan pembuangan sampah-sarap dan juga bahan-bahan toksik ke dalam sungai, tasik dan laut.

    Berjimat cermat dalam penggunaan air merupakan salah satu langkah yang perlu ditekankan dalam setiap individu setiap masa. Tidak kira dalam kehidupan berkeluarga atau bermasyarakat, semua pihak mestilah memainkan peranan dalam menyemai sikap bertanggungjawab dalam menghargai air dengan menggunakannya secara berhemah.

    Segera laporkan sebarang kebocoran paip air kepada pihak berwajib bagi mengelakkan pembaziran.
    Elakkan membuang sampah-sarap merata-rata bagi memelihara kualiti air.

    Dalam menjalani aktiviti harian seperti menyediakan makanan, minuman, memasak, mencuci, menyiram tanaman, mandi dan sebagainya, kita disarankan supaya mengelakkan penggunaan air secara berlebihan kerana ia boleh merugikan individu mahupun negara.

    Salah satu cara untuk kita mengurangkan pembaziran air ialah melaporkan dengan segera kepada pihak berwajib jika berlakunya isu-isu seperti kebocoran paip air. Hal ini begitu penting disemai dalam diri kita semua bagi menggelakkan berlakunya pembaziran air di negara ini.

    Pentingnya sumber air bersih

    Perlu diketahui bahawa air dapat mengawal dan mengekalkan suhu badan setiap makhluk yang bernyawa di samping menghalang kekeringan dan kerosakan sel-sel badan.

    Tanpa air, darah tidak akan mengalir, oksigen dan zat tidak dapat dipindahkan, sisa tidak dapat disingkirkan, kebanyakan organ dan proses dalam badan tidak akan berfungsi.

    Persoalannya, apakah kepentingan sumber air bersih kepada manusia?

    Air merupakan sumber minuman kepada manusia mahupun hidupan yang lain untuk meneruskan hidup. Apabila tubuh badan kekurangan air, ia akan menyebabkan badan menjadi letih dan tidak bermaya akibat dehidrasi.

    Justeru, kita harus minum air yang bersih, sihat dan asli supaya proses penyingkiran bahan toksik dalam badan dapat berfungsi pada tahap optimum. Air yang bersih memainkan peranan yang amat penting sebagai penyuling dan pencuci yang terbaik terhadap toksin di dalam badan kita kerana ia dapat membantu membuang sisa beracun dan bahan kimia dalam badan.

    Ingatlah pada saat kita memiliki keperluan air yang mencukupi, terdapat insan-insan yang kurang bernasib baik yang mengalami krisis air dalam kehidupan harian mereka.

    Oleh yang demikian, bersungguh-sungguhlah kita dalam menghargai nikmat air, anggaplah setiap titisan itu umpama emas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda