Tuesday, March 18, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nikmat keenakan buah-buahan segar

    Oleh Nurdiyanah R.

    Buah-buahan memiliki kandungan gizi, vitamin dan mineral yang sangat baik untuk tubuh dan khasiatnya diletakkan pada aras dua Piramid Makanan bersama sayur-sayuran.

    Pengambilan buah-buahan mengikut jumlah hidangan yang mencukupi dapat memastikan tubuh badan dan otak kita menerima semua nutrien mencukupi bagi membolehkan ia berfungsi dengan baik.

    Oleh itu, segmen Makan-Makan kali ini akan membawa para pembaca untuk menerokai menu hidangan menarik yang berasaskan pelbagai pilihan buah-buahan segar yang diusahakan oleh para peniaga tempatan.

    Bagi para penggemar buah-buahan potong yang segar dan berkualiti, bolehlah merasai keenakan buah-buahan asli yang diketengahkan oleh salah sebuah perniagaan tempatan dalam talian yang dikenali sebagai FruityBuah.

    Hidangan sihat yang mampu dinikmati segera itu terdiri daripada pelbagai campuran buah-buahan potong seperti buah betik, nenas, tembikai, mangga, limau manis, buah naga dan tembikai susu.

    Jus-jus buah yang disimpan di dalam botol tampak menarik dan menyegarkan.
    Menu hidangan minuman jus buah-buahan istimewa buatan sendiri daripada peniaga online, 2seasons mampu menghilangkan dahaga.
    Hidangan sihat yang terdiri daripada pelbagai campuran buah-buahan potong asli yang segar dan berkualiti oleh FruityBuah.

    Dengan tawaran harga yang berpatutan, orang ramai boleh membelinya dengan menempah secara dalam talian atau melalui pesanan ringkas dengan anggaran harga di bawah $4 bagi satu bekas kecil dan satu set hidangan buah-buahan potong dalam piring dengan anggaran harga kurang $15.

    Selain itu, variasi jus berasaskan bahan-bahan daripada buah-buahan asli yang segar juga dapat dinikmati oleh para penggemarnya dari salah sebuah perniagaan tempatan dalam talian yang dikenali dengan nama 2seasons.

    Dengan mengetengahkan menu hidangan minuman jus buah-buahan istimewa yang antaranya terdiri daripada teh epal, pic punch, nenas, lemon, mint kiwi dan strawberi splash, semuanya pasti memberi kegembiraan bagi para penggemar buah-buahan.

    Menurut Dayang Amirah Diyanah selaku pengasas bersama syarikat yang mula beroperasi sejak bulan Jun lalu, proses pembuatan jus buah-buahan itu dijalankan secara handmade yang mana kualiti kesegaran buah-buahan dan kebersihan merupakan antara aspek terpenting dalam menghasilkan pelbagai jenis pilihan jus asli yang sememangnya mampu menawan hati seseorang dengan nikmat kesegarannya bagi setiap sedutan untuk menghilangkan dahaga.

    Ia dijual dengan anggaran harga kurang daripada $4 bagi setiap jenis saiz sama ada dalam plastik ziplock atau botol dengan pilihan jus yang telah ditetapkan.

    Oleh itu, bagi anda yang berkeinginan untuk merasakan kesegaran minuman buah-buahan asli ini boleh melayari laman media sosial mereka.

    Bubur oat ayam

    Bahan-bahan:

    1 cawan oat segera

    3 cawan air

    2 ulas bawang putih (dicencang)

    3 biji bawang merah (dicencang)

    1 keping isi ayam (dipotong dadu kecil)

    ½ batang lobak merah (dipotong kecil)

    2 sudu makan minyak masak dan garam

    Cara menyediakannya:

    Panaskan air di dalam periuk sehingga mendidih.  Masukkan oat dan sedikit garam. Kacau sehingga sebati.

    Panaskan minyak masak dalam kuali dan tumiskan bawang putih dan bawang merah sehingga wangi.

    Masukkan ayam, lobak merah dan garam. Kacau rata. Tuangkan ke dalam periuk berisi oat dan kacau rata.

    Anda boleh memasukkan bawang goreng dan daun bawang sebagai hiasan.

    Mee sup ikan

    Bahan-bahan:

    Ikan rumahan

    1 liter air

    2 biji bawang putih

    Setengah biji limau nipis

    Garam secukup rasa

    Semangkuk taugeh

    Secawan sayur sawi

    Sekotak mee kasar

    1 biji lada hijau hiris nipis

    1 biji lada merah hiris nipis

    Cara menyediakannya:

    Mula-mula, rebus ikan, bila sudah siap, asingkan tulang dan isinya. Air rebusan ikan tadi guna balik.
    Selepas itu hiris bawang putih nipis-nipis. Masukkan ke dalam periuk bersama perahan limau nipis dan garam secukup rasa.

    Terlebih dahulu mee kasar perlu direbus dengan api kecil dan selepas itu disimpan di tempat lain.

    Bila sudah mendidih, letakkan taugeh dan sawi selama beberapa minit.

    Masukkan mee yang sudah direbus tadi. Tutup api dan tuangkan ke semua bahan-bahan tadi ke dalam mangkuk. Masukkan ikan yang sudah dimasak tadi. Siap untuk dihidangkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda