TOKYO, 29 OGOS – Bukan mudah bagi seseorang individu normal menerima hakikat sekiranya kehidupan berubah sekelip mata, menjadi golongan orang kurang upaya (OKU).
Bagaimanapun, situasi itu tidak memberi kesan mendalam terhadap pemain tenis kerusi roda kebangsaan Malaysia, Abu Samah Borhan.
Selepas tulang belakangnya patah akibat kemalangan jalan raya pada 2006, Abu Samah sebaliknya melihat sisi hidupnya yang merupakan sebahagian daripada golongan OKU dari sudut positif.
Lebih menarik, beliau yang bersyukur diberi peluang kedua untuk meneruskan hidup, walaupun dengan keadaan fizikalnya yang terpaksa bergantung kepada kerusi roda, menyifatkan perubahan dialaminya seolah-olah satu rahmat dalam kehidupannya.
“Jika diikutkan penerimaan terhadap apa yang berlaku kepada diri saya tidaklah terlalu negatif, kerana ketika kejadian saya tidak mempunyai sebarang tanggungjawab terhadap mana-mana, pihak kecuali keluarga.
“Hanya keluarga yang amat terkesan melihat saya terlantar dan sukar untuk menguruskan diri selama enam bulan pertama, namun selepas keadaan bertambah baik, saya mula menyelami kehidupan baharu dengan menyertai persatuan OKU, di mana mereka banyak beri motivasi kepada saya. Alhamdulillah Allah SWT buka peluang dan jalan lain kepada saya,” katanya kepada Bernama.
Sejak dari itu atlet berusia 36 tahun berkata, kehidupan sebagai OKU sudah menjadi normal baginya selain gembira menerima banyak tunjuk ajar daripada individu lain, yang mengalami nasib serupa sepertinya untuk terus menikmati kehidupan.
Pemain kelahiran Perak yang aktif bersukan sejak di bangku sekolah, menarik perhatian tidak pernah terlintas langsung dalam fikirannya untuk menjadi pemain tenis kerusi roda sehinggalah isterinya Norisah Bahrom, mendorongnya untuk cuba menyertai sukan berkenaan.- Bernama