Friday, February 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nikmat rasa kebebasan di penjara wanita Colombia

    CARTAGENA, Colombia – Arleth Martinez membetulkan bajunya, mencium gambar anak kembarnya dan pergi ke tempat kerja.

    Ia hanya beberapa meter dari sel Colombianya ke tempat kerjanya yang luar biasa, restoran gastronomi penjara pertama di Amerika Selatan.

    Mengikuti contoh Penjara Pollsmoor Afrika Selatan, di mana Nelson Mandela dipenjara selama 27 tahun dan beberapa penjara lainnya di Milan, penghuni-penghuni penjara wanita di pusat bandar Cartagena ini cuba menyesuaikan diri agar dapat berintegrasi semula dengan masyarakat melalui pengalaman yang ada iaitu masakan dan khidmat pelanggan.

    Gambar kembar Arleth berusia tujuh tahun itu adalah menjadi ‘azimat’ peribadinya – suatu peringatan berterusannya pada masa depan. Dihukum selama enam tahun oleh kerana kesalahan pemerasan pada tahun 2015, kehidupannya di penjara San Diego buat masa ini telah semakin baik sejak dia berkhidmat di restoran itu pada lewat tahun lepas.

    “Walaupun saya masih dalam penjara, saya merasa bebas kerana ia adalah suatu persekitaran yang sangat berbeza,” katanya yang berusia 26 tahun sambil memakai baju T-shirt dan apron hitam, rambutnya diikat dengan serban berwarna merah jambu.

    Arleth Martinez berdiri di pintu masuk restoran berkenaan. – AFP
    Arleth Martinez (tengah) melakukan kerjanya di restoran Interno. – AFP

    Lima belas daripada 150 penghuni – kebanyakannya dituduh kerana melakukan pembunuhan atau mengedar dadah – melakukan pekerjaan mereka sama ada di dapur atau di ruang perkhidmatan. Kerja-kerja yang dilakukan ini adalah berinsentif – dua hari membasuh pinggan mangkuk, menyediakan atau menghidangkan makanan, mendapat pengurangan penjara selama sehari.

    Tirai fuchsia memisahkan restoran yang mempunyai 50 tempat duduk dari sel-sel penjara tersebut. Sebuah lukisan mural bunga yang dicat oleh banduan-banduan tersebut telah memberikan warna dan suasana kedamaian di sana.

    Dinamakan sebagai ‘El Interno’, yang secara kasar diterjemahkan sebagai ‘The Intern’, sebuah kedai makan yang memberikan rasa gementar buat penduduk tempatan dan juga pelancong asing yang sangat ingin tahu, sambil menikmati menu AS$30 dari hidangan ‘fish ceviche in coconut milk’ sehinggalah ‘nasi dicampur dengan makanan laut’ dan ‘posta Cartagenera’ – hidangan daging bersos hitam khas tempatan.

    “Apabila mereka datang, pengunjung tahu bahawa mereka sedang memasuki sebuah penjara, dan mereka akan dilayan oleh tahanan,” kata Johana Bahamon, seorang pelakon televisyen Colombia dan juga pengasas Yayasan Accion Interna yang merupakan penggerak di sebalik idea ini.

    “Apabila mereka pergi, mereka sangat gembira kerana dapat bertemu dengan manusia sebenar yang berbakat dan berani,” kata Bahamon kepada AFP.

    El Interno adalah satu peluang yang sangat jarang diperolehi oleh penghuni-penghuni di negara itu, yang mana mempunyai populasi penjara terbesar di Amerika Selatan selepas Brazil. Dalam tempoh 17 tahun yang lalu, bilangan mereka yang berada di penjara di Colombia telah meningkat lebih daripada dua kali ganda, iaitu dari 51,500 sehinggalah 119,000, menurut Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

    Pemenjaraan yang ketat dan meningkatnya sabitan hukuman terhadap pengedaran dadah telah memenuhi 138 penjara di Colombia, sehingga ada yang melampaui kapasiti mereka iaitu 80,000. Bahamon percaya bahawa wanita-wanita yang berada di penjara-penjara penuh sesak ini amat memerlukan satu peluang kehidupan yang baru. Ia adalah tema pemulihan di restoran ini.

    Arleth Martinez dipenjara kerana kesalahan pemerasan menuju ke tempat kerjanya di restoran Interno di penjara San Diego di Cartagena, Colombia. – AFP
    Banduan-banduan Colombia melakukan kerja-kerja mereka di restoran Interno. – AFP

    ‘Yo creo en las segundas oportunidades’ (saya percaya pada peluang kedua) ada terpapar pada belakang baju kameja hitam Arleth dan di dinding masuk ke kedai makan itu.

    Bahamon berkata bahawa dia mendapat inspirasi itu dari InGalera, sebuah restoran awam yang dikendalikan oleh tahanan Itali yang didirikan di tempat letak kereta penjara Milan beberapa tahun yang lalu.

    Dia yakin bahawa pihak berkuasa dapat menyesuaikan konsep itu kepada penjara San Diego, yang terletak di tengah-tengah kawasan pelancongan, Cartagena, beberapa meter dari hotel-hotel mewah di sekitar pelabuhan bersejarah bandar Colonial lama.

    Bagi pelanggan seperti Antonio Galan, berasal dari ibu kota Bogota, “semuanya mempunyai rasa dan aroma kebebasan, dari rasa hidangan hinggalah suasana restoran.”

    Oleh itu, pada waktu petang, Arleth telah dikelilingi pengaruh-pengaruh baik seperti personaliti tv dan pegawai-pegawai media, yang bersatu bagi memperbaiki kehidupan mereka.

    El Interno menawarkan makan malam gourmet dari hari Selasa hingga Ahad. Tetapi apabila ia ditutup pada jam 11:00 malam, Arleth kembali kepada suasana realiti dalam sel penjara bersama rakan-rakannya yang lain.

    Seperti penjara lain di Colombia, suasana di San Diego sangat padat dan penuh sesak. Sekitar 150 wanita, yang kebanyakannya sedang menunggu perbicaraan, berkongsi ruang yang direka hanya untuk 100 orang. Apabila dia datang ke San Diego, Arleth berkata dia sangat terkejut dengan kehidupannya, kerana dia terpaksa bersama-sama dengan banduan penyalahgunaan dadah, keadaan ruang yang kotor dan bangunan yang sudah usang.

    Selama empat bulan dia tidur di atas lantai. Dia merasa cemas untuk anak-anaknya, yang diamanahkan kepada nenek mereka. Ayah mereka, katanya, telah dizalimi dan ditinggalkan oleh keluarganya.

    Tetapi tahun lepas, Arleth telah berjaya dan lulus dalam peperiksaan sekolah menengahnya dan dilatih sebagai pelayan di penjara tersebut. Dia memperolehi haknya melalui kerjayanya di restoran itu.

    Di dalam penjara, “hanya pahlawan” mampu bertahan, katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda