Saturday, November 16, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nikmati aroma, cita rasa pastri

    SEOUL – Kedai roti What a Bread (WAB) yang baru dibuka di lorong jualan makanan yang sibuk bersebelahan Stesen Yongson – menghidangkan pelbagai jenis sajian bakar kreatif yang boleh awda nikmati.

    Suasana dalamannya membuatkan awda merasa seperti pergi ke kedai roti di suatu tempat di luar bandar Amerika.

    Beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan kedai roti Korea berkembang lebih kreatif berbanding sebelumnya, dengan teknik genre baharu menggabungkan kombinasi rasa dengan inovatif.

    WAB menepati ciri-ciri kedai roti yang menawarkan pastri enak, mempunyai hidangan yang paling segar dan mengenyangkan di bandar itu.

    Roti istimewanya termasuk MBTI, sesuatu yang hampir serupa dengan donat berintikan krim di mana ia terdapat dalam empat perisa berbeza berdasarkan jenis huruf – donat pistachio dengan taburan pistachio di atasnya untuk E atau I; coklat gelap untuk N atau S; lemon krim dengan kulit lemon untuk F atau T; dan keju krim blueberry untuk P atau J.
    Mereka juga menjual keempat-empat huruf MBTI dalam bentuk set berkotak, menjadikannya cara yang menyeronokkan untuk menikmati roti bakar bersama rakan atau keluarga.

    Antara roti yang dipamerkan di kedai itu. – ANN/The Korea Herald
    Roti MBTI yang terdapat di kedai tersebut. – ANN/The Korea Herald
    Gambar koreatravelpost
    Gambar koreatravelpost
    Tart bendera Amerika. – ANN/The Korea Herald
    Gambar koreatravelpost

    Ia menawarkan lebih daripada belasan jenis roti di kedai seluas lebih 33 meter persegi itu, di mana setiap jenis daripadanya diberikan nama sempena wilayah di Amerika Syarikat.

    Contohnya, beberapa roti berinti yang boleh dinikmati sebagai hidangan seperti buah ara, ubi manis dan labu manis kampung masing-masing dinamakan ‘Virginia’, ‘Washington’ dan ‘Colorado’.

    Pastri seperti tiramisu maritozzo dan tart telur pula setiap satunya dinamakan ‘New Jersey’ dan ‘Kentucky.’

    Kebanyakan roti tidak terlalu manis dan semua perisa sangat enak. Contohnya, dalam ‘Hawaii’ – pastri krim kacang merah – lapisan kerak pastri rangup, krim putar segar yang tebal dan sedikit pes kacang merah semuanya bersatu untuk mencipta keseimbangan.

    Manakala minuman pula adalah bersaiz sangat besar dan ia merangkumi ciptaan unik seperti, Jeju carrot cream latte, avocado latte dan Ras-cream – raspberi dan ais krim vanila.

    Sukar untuk memahami mengapa minuman berinspirasikan Jeju carrot cream latte itu menjadi minuman istimewa pada menu itu, bagaimanapun, ia merupakan sesuatu yang menarik untuk dicuba. – ANN/The Korea Herald

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda