Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nikmati hidangan kek bertemankan si bulus

    KUALA LUMPUR – Sebaik melangkah masuk ke kafe kecil ini, mata pasti terarah kepada suasana ‘huru-hara’ yang dicetuskan oleh sekumpulan si ‘bulus’ lincah berkejaran dan melompat di sana-sini, menerkam pelbagai mainan yang tersedia.

    Keributan di kafe Meraki Jelatek itu bagaimanapun jelas menghiburkan Lili Syazwaniza Mohd Yatim, 33, sambil membelai Moon, seekor kucing baka Sacottish Fold di pangkuannya. Mungkin enggan terlibat dalam kekecohan itu, si tembam yang mungkin seberat enam kilogram tersebut memilih riba Lili Syazwaniza atau Wani, sebagai ‘tempat selamatnya.’

    Si bulus milik Wani, seekor kucing jantan berwarna hitam putih persis bertuksedo, sekadar memerhati dari dalam sangkar pengangkutnya yang diletak berhampiran suami wanita itu.

    Kafe ini dan premis seumpamanya bukanlah gimik bagi menarik perhatian pempengaruh media sosial atau sekadar tempat menghiburkan hati dan menghilangkan stres bagi peminat kucing. Sebaliknya ia adalah talian hayat bagi kebanyakan haiwan itu yang dibuang semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Premis sebegini menawarkan perlindungan kepada haiwan terbabit selain membenarkan sesiapa yang berminat membawa pulang kucing itu sebagai haiwan kesayangan, di samping turut mendidik masyarakat menjadi pemilik haiwan kesayangan yang bertanggungjawab.

    Wani bermain bersama seekor kucing di Kafe Meraki Jelatek. –Bernama
    Pelanggan Kafe Kucing Seri Talam bermain bersama kucing-kucing di kafe tersebut. – Bernama

    Pelanggan Kafe Kucing Seri Talam gembira membelai si bulus semasa kunjungan ke kafe tersebut.

    Pemilik Meraki Jelatek, Karen Tony Sulil Majangkim memberitahu Bernama, sejak kafe itu dibuka kira-kira setahun lalu, ia berjaya memadankan 15 ekor kucing dengan pemilik baharu.

    Carikan tuan baharu untuk si comel

    Semasa penularan pandemik COVID, haiwan kesayangan juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa. Pada peringkat awal penularan, berita tentang ratusan pemilik membuang kucing atau anjing peliharaan mereka kerana takut dijangkiti virus maut itu sering dilaporkan oleh media.

    Kemudian, ketika pelaksanaan PKP, apabila ramai yang kehilangan pekerjaan serta tidak lagi mampu menjaga haiwan kesayangan mereka, ratusan kucing dan anjing menjadi haiwan jalanan, sesetengahnya masih lagi memakai kalung leher.

    Dua tahun lepas, beliau menyewa sebuah ruang pejabat untuk beliau bekerja jauh dari rumah, kerana katanya sukar untuk beliau memberi tumpuan ketika bekerja di rumah.

    Tidak lama kemudian, beliau mendapati banyak kucing dibuang di kawasan itu, biasanya berhampiran klinik veterinar – sesetengahnya anak kucing yang baru berusia beberapa hari, atau kucing dewasa yang cedera, malah kucing pedigri. Sebahagiannya beliau bawa pulang manakala yang lain pula dicarikan tuan baharu.

    Tidak lama selepas itu, beliau mengubah suai ruang pejabatnya menjadi tempat perlindungan dan kafe yang memberi peluang pelanggan bermesra dengan kucing-kucing terbabit.

    “Niat saya ialah untuk memberi perlindungan kepada kucing-kucing ini, pastikan ia kembali sihat, terutama yang dewasa, dan selepas itu tawarkan kepada yang berminat untuk dijadikan haiwan kesayangan,” ujarnya, menambah pada masa ini terdapat 32 ekor kucing di premis itu.

    Ujarnya lagi, kebanyakan kucing tersebut diambil apabila pelanggan datang ke kafe dan menjadi rapat dengan kucing berkenaan. Kongsinya lagi, yang terkini berjaya dengan pemilik baharu ialah seekor kucing baka Russian Blue bernama Putin.

    Menurutnya, apabila ada yang berminat untuk mengambil dan membela haiwan terbabit, beliau akan menemu bual bakal pemilk bagi memastikan individu berkenaan tahu cara menjaga kebajikan haiwan kesayangan.

    Sekalipun begitu, tidak semua kes berakhir dengan kegembiraan. Ada kucing yang terpaksa dikembalikan ke kafe kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan kediaman baharu.

    Ini terjadi kepada seekor kucing di Seri Talam Cat Cafe di Wangsa Maju yang berhampiran Meraki Jelatek, yang sudah dua kali dikembalikan semula.

    “Ia sangat nakal, suka tolak barang jatuh dari meja,” ujar Judith Xavier, menambah ada juga kucing mengalami kemurungan kerana rindukan ‘rakan-rakan’ di pusat perlindungan.

    Menurutnya, mereka juga menemu bual bakal pemilik untuk mengenal pasti sama ada individu itu tahu menjaga kucing dengan baik di samping memastikan haiwan berkenaan tidak dibiarkan bebas di luar rumah.

    Tidak seperti Meraki Jelatek, Seri Talam Cat Cafe tidak lagi menghidangkan kuih talam mereka bersama-sama kucing. Sebaliknya haiwan berjumlah 120ekor itu ditempatkan di Cat Gallery yang terletak di tingkat atas kafe, dilengkapi beranda, bilik utama, bilik kuarantin dan tiga lagi bilik.

    Respons bercampur

    Kafe kucing popular di Asia dengan kafe yang pertama dibuka di Taipei, Taiwan pada 1998 sebelum trend itu menular ke negara lain.

    Ia sangat popular di Jepun, di mana kebanyakan pangsapuri tidak membenarkan penghuninya membela haiwan kesayangan.

    Kafe model Jepun membenarkan kucing dan pelanggan berkongsi ruang sambil mereka menikmati makanan dan minuman.

    Model barat pula memisahkan kucing dan ruang pelanggan menjamah hidangan dengan mengenakan caj masuk kepada pelanggan yang mahu bermain dengan kucing-kucing tersebut.

    Tidak ada data tentang jumlah kafe kucing di Malaysia, namun carian Internet menemukan sekurang-kurangnya 10 kafe seumpamanya di Lembah Klang.

    Kewujudan kafe kucing ini menerima respons yang bercampur-campur daripada badan kebajikan kucing.

    Royal Society to Protect Animals (RSPCA) di kebanyakan negara misalnya, bimbang tentang kebajikan haiwan terbabit.

    Menurut mereka, mengurung terlalu banyak kucing di dalam satu ruang selain mendedahkan mereka kepada orang yang tidak dikenali mungkin menyebabkan haiwan terbabit stres.

    Akan tetapi, semua pihak yang berkenaan bersetuju perlu ada satu peraturan yang ketat bagi mengawal selia kafe sedemikian.

    Karen berkata walaupun kebimbangan itu berasas, ia bergantung pada reka bentuk dan kelengkapan yang disediakan oleh pusat perlindungan dan kafe tersebut.

    Bagi Judith, isunya bukan kafe kucing semata-mata tetapi pemilik yang enggan memandulkan haiwan kesayangan mereka menyebabkan ramai yang bertindak membuang anak kucing dan anjing yang turut menyumbang kepada kesesakan di pusat perlindungan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda