MASIH tercari-cari menu Aidilfitri, apa kata hidangkan tetamu dan sanak saudara dengan juadah masakan kampung.
Setentunya ramai yang akan berselera untuk menikmati variasi hidangan Aidilfitri dan ia jelas lebih istimewa lagi apabila anda yang memasaknya.
Justeru, selamat mencuba resipi hidangan kampung ini dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Rendang Daging
1 kg daging
1 liter santan pekat
6 batang serai yang dititikkan.
2 sudu makan cili kisar
2 sudu makan kerisik
2 sudu besar gula Melaka
5 helai daun kunyit yang dihiris.
5 helai daun limau purut yang dihiris.
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Minyak masak yang secukupnya untuk menumis
Bahan kisar:
10 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
2.5 cm halia
2.5 lengkuas
2.5 inci kunyit hidup
15 biji cili padi
Cara membuat:
Panaskan minyak, kemudian tumis bahan-bahan yang telah dikisar dan serai sehingga wangi.
Masukkan cili kisar dan gula Melaka, kacau rata sehingga pecah minyak.
Masukkan daging kacau rata sehingga daging kecut dan air daging kering.
Seterusnya masukkan santan dan kerisik. Kacau sehingga sekata.
Kemudian masukkan hirisan daun kunyit, limau purut, garam dan gula secukup rasa. Masak sehingga kuah pekat, dan secukup rasa.
Rendang sedia untuk dihidangkan.
Pajeri Nenas
1 biji nenas masak yang dihiris bulat dan dipotong dua.
500 ml santan pekat
5 biji bawang merah yang dikisar
2 ulas bawang putih yang dikisar
1 sudu kecil udang kering
2 sudu makan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air.
1 sudu makan serbuk cili giling yang dibancuh dengan sedikit air.
2 sudu makan kerisik.
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak untuk menumis secukupnya.
Rempah penumis:
1 kuntum bunga lawing
2 kuntum bunga cengkih
2.5 cm kulit kayu manis
2 biji buah pelage
Cara membuat:
Panaskan minyak, tumis rempah penumis hingga wangi.
Masukkan bahan kisar dan kacau lagi.
Seterusnya masukkan udang kering, bancuhan rempah kari dan
serbuk cili, kacau rata sehingga pecah minyak.
Kemudian masukkan santan dan kerisik. Kacau hingga timbul minyak.
Akhir sekali masukkan nenas dan perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
Setelah kuah pekat dan nenas masak, tutup api.
Pajeri nenas sedia untuk dihidangkan.
Ayam Goreng Berempah
500 gram ayam yang dicuci bersih.
1 sudu teh serbuk jintan putih.
1 sudu teh serbuk jintan manis.
1 sudu teh serbuk ketumbar
1 sudu teh serbuk cili
½ sudu teh serbuk kunyit
1 sudu makan serbuk kari
1 sudu makan tepung jagung
Garam secukup rasa
Minyak masak secukupnya
Bahan kisar kasar:
6 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 cm lengkuas
2 cm halia
4 batang serai
Air secukupnya untuk mengisar
Cara membuat:
Masukkan semua bahan kisar ke dalam pengisar. Kisar menjadi pes dan ketepikan.
Masukkan ayam, serbuk jintan putih, serbuk jintan manis, serbuk ketumbar, serbuk kunyit, serbuk cili, serbuk kari, tepung jagung dan garam ke dalam mangkuk besar.
Tambahkan pes yang telah dikisar tadi, lalu perap ayam selama satu jam.
Panaskan minyak ke dalam kuali. Goreng ayam dalam minyak yang banyak dengan kadar api yang sederhana hingga berwarna coklat keemasan.
Angkat dan toskan. Angkat sekali rempah yang jatuh ke dasar kuali semasa menggoreng.
Taburkan di atas ayam goreng dan hidangkan.