MEWAH, menawan, suasana romantik,indah dan memang susah digambarkan – Switzerland merupakan destinasi pelancongan yang sangat menjadi impian buat mereka yang suka melancong dan mengembara tempa-tempat baharu. Tidak dapat dipertikaikan lagi, Switzerland menjadi lokasi yang mempunyai aura tersendiri sebagai lokasi berbulan madu.
Dengan dikelilingi gunung, trek ski terbaik dunia yang menggambarkan kesempurnaan, Switzerland akan dipenuhi dengan pelancong dari serata dunia setiap kali musim bercuti saban tahun. Sama ada anda dalam percutian romantik, percutian sekali seumur hidup bersama keluarga ataupun kembara mengelilingi dunia bersama kawan-kawan, tempat-tempat dan alunan muzik yang menarik serta aroma coklat yang menyengat di Switzerland mampu meninggalkan kenangan yang paling indah buat anda. Di sini disenaraikan 10 hotel mewah terbaik di Switzerland:
1. Les Armures
Berbeza dengan kebanyakan hotel yang menjanjikan reka bentuk moden dan mewah, Hotel Les Armures masih mengekalkan ciri-ciri lama abad ke-17. Penginapan di Hotel Les Armures sememangnya menjanjikan pengalaman yang berbeza. Dengan mengekalkan seni bina asal, tidak hairanlah hotel ini pernah menjadi destinasi pilihan individu ternama seperti legenda bola sepak, Pele.
2. Hotel Beau Rivage
Dengan jarak yang tidak berapa jauh dari pantai, pemandangan di Hotel Beau Rivage Geneva ini cukup memukau. Berjalan dalam suasana dan pemandangan yang damai, pasti membuatkan percutian anda lebih bermakna sambil melihat keindahan gunung Mont Blanc. Pencinta keindahan seni bina pula sudah tentu tidak akan melepaskan peluang untuk melihat sendiri seni bina dan hiasan dalaman oleh arkitek British, Leila Corbett Elwes.
3. Four Seasons Hotel des Bergues
Four Seasons Hotel des Bergues merupakan hotel mewah pertama di bandar ini dan menjadi destinasi pilihan terbaik di Geneva dari tahun 1834. Hotel lima bintang ini terletak berhampiran dengan tasik Geneva dan berdekatan dengan bandar lama, tempat makan terkenal dan juga spa. Hasil kreativiti pereka hiasan dalaman terkenal Pierre-Yves Rochon yang menggabungkan dunia lama dengan sentuhan kontemporari di dalam Hotel Four Seasons ini.




4. Grand Hotel Kempinski
Melangkah masuk ke dalam Grand Hotel Kempinski, Geneva, sudah semestinya memukau pandangan dan hati anda dengan rekaan mewah. Pemandangan tasik dan juga gunung yang boleh dilihat terus dari dalam hotel cukup memukau setiap pengunjung.
5. La Reserve Geneva – Hotel and Spa
Terletak di lokasi seluas 10 ekar, hotel mewah berstatus lima bintang ini pasti menjanjikan pengalaman bercuti yang mengujakan.
6. Mandarin Oriental
Tempat penginapan untuk percutian impian seterusnya adalah Mandarin Oriental yang terletak dalam Geneva dan berada di atas Sungai Rhone. Ianya menampilkan konsep dalaman moden yang memukau. Mandarin Oriental adalah antara hotel lima bintang yang menyajikan variasi hidangan dari yang berkonsepkan Itali sehinggalah India. Taman hijau yang subur yang terletak di sebelah sungai menjadikan ianya hotel yang sungguh nyaman dan tenang. Malah, suasana sebegitu membolehkan sesiapa sahaja untuk menjelajah Geneva dengan mudah.
7. Grand Hotel Les Trois Rois
Terletak berdekatan dengan Sungai Rhine, hotel mewah yang juga merupakan hotel tertua di Eropah yang kaya dengan sejarahnya tersendiri pasti memberikan pengalaman yang mengujakan. Suasana malam dihidupkan lagi dengan cahaya lampu dan juga pantulan cahaya terhasil dari Sungai Rhine.
8. The Dolder Grand
Hotel Dolder Grand ini asalnya direka pada tahun 1897 oleh arkitek yang berasal dari Basel Jacques Gros. Pada tahun 2000, proses pengubahsuaian telah dijalankan dan diberi wajah baharu yang indah oleh Arkitek Foster and Partners yang berpangkalan di London. Spa yang luas, pemandangan yang memukau, bilik yang mewah menjadikannya salah satu hotel terbaik yang patut anda cuba.
9. Hotel Matterhorn Focus
Hotel Matterhorn Focus merupakan tempat percutian yang tenang dan menjanjikan pemandangan yang tidak dapat ditandingi. Cerun yang dilitupi salji di sekitar hotel mewah ini menambah lagi mood romantik kepada anda.
10. Alpina Gstaad
Hotel Alpina Gstaad ini mempunyai reka bentu dan seni binanya yang unik yang mana disulam dengan hiasan dalaman yang selesa dan mewah, menjadikan Hotel Alpina Gstaad mengekalkan reputasinya sebagai hotel lima bintang yang sukar ditandingi. Percutian pada musim salji pasti mengujakan anda. – Agensi