Oleh Nurdiyanah R. –
Siapa sangka sejenis buah eksotik yang tumbuh di kawasan tropika, yang memiliki bentuk yang unik dengan kulit luarnya seperti duri mempunyai banyak kelebihan dan khasiat yang tersendiri.
Buah naga, dengan rasanya yang manis dan masam itu mempunyai tekstur lembut dan berair pada bahagian dalam, datang dalam variasi warna merah gelap dan putih.
Hakikatnya, buah ini kaya dengan vitamin C, asid lemak serta fosforus.
Miliki khasiat tersendiri
Mengimbas kembali sumber bahan bacaan yang pernah dibaca penulis sebelumnya, buah naga ini dikatakan mampu memberi perlindungan kepada tubuh badan daripada proses penuaan yang mana ia membantu mengekalkan keanjalan kulit. Dengan kata lain, ia adalah salah satu sumber khasiat antioksidan yang tinggi kerana ia mengandungi vitamin C.
Selain vitamin C, buah naga juga mengandungi karotena yang dikaitkan dengan anti-karsinogenik termasuk mengurangkan jumlah penghasilan tumor.
Kandungan likopena yang berfungsi memberi warna merah kepada buah naga juga sering dikaitkan dalam mengurangkan risiko mendapat kanser prostat.
Buah naga membantu meningkatkan kesihatan jantung kerana ia mampu mengurangkan tahap kolesterol tidak baik.
Hal ini kerana ia mengandungi sumber lemak garam mono yang membantu mengekalkan fungsi jantung yang sihat.
Pada masa yang sama, buah ini juga dapat membantu menstabilkan paras gula dalam darah seseorang.
Di samping itu, buah ini juga dapat membantu memperbaiki pergerakan usus dengan memudahkan laluan di bahagian saluran penghadaman.
Pengambilan buah ini boleh membantu mengurangkan masalah sembelit dan sindrom gangguan usus.
Sentuhan kulinari dari buah naga
Selain boleh dinikmati secara langsung, ia juga boleh diolah menjadi puding buah naga yang menggunakan bahan-bahan seperti serbuk agar-agar, air, gula, susu cair dan buah naga yang dipotong kecil.
Masukkan serbuk agar-agar, gula dan air ke dalam periuk dan rebus sehingga mendidih.
Kemudian susu cair dikacau rata ke dalam adunan yang telah sebati. Selepas itu, tuangkan campuran ramuan ke dalam loyang dan biarkan sejuk seketika sebelum disimpan di dalam peti sejuk.
Selain itu, buah naga juga enak dijadikan jus segar berais. Masukkan isi buah naga dalam mesin pengisar bersama air, aiskrim soda dan susu pekat dan kisar sehingga hancur.
Kemudian tuang bahan-bahan yang sudah dikisar itu ke dalam gelas. Jika ingin lebih segar lagi tambahkan ketulan ais ke dalam campuran tersebut.