Oleh Afiq Zainuddin –
Ayam percik merupakan hidangan yang terkenal dengan rasa manis, pedas, dan beraroma.
Hidangan ini terdiri daripada ayam yang dibakar atau dipanggang dengan kuah percik yang kaya dengan rempah-ratus yang memberikan rasa yang unik dan menyelerakan.
Ayam yang telah diperap dengan rempah ini dibakar hingga masak sempurna, dan kuah percik disapu berulang kali semasa proses memasak, memberikan lapisan rasa yang kaya pada ayam.
Hidangan ini sering disajikan dengan nasi putih atau nasi minyak sebagai hidangan utama dalam majlis atau acara tertentu.
BAHAN BAHAN
Bercerita secara ringkas antara bahan-bahan yang digunakan untuk membuat ayam percik terbahagi kepada beberapa bahagian. Bahan untuk ayam adalah seperti ayam, garam, gula, serbuk pati ayam, serbuk cili, sos tiram dan sedikit perahan limau nipis.
Manakala bahan untuk kisar pula adalah seperti bawang merah besar, halia, lengkuas, bawang putih, kunyit hidup, serai dan buah keras.
Bahan untuk kuahnya pula adalah seperti minyak masak, cili kisar, serbuk cili, sedikit air asam jawa, garam secukup rasa, gula Melaka secukup rasa, susu sejat dan sedikit bancuhan tepung jagung (untuk pekatkan kuah jika perlu).
CARA PENYEDIAAN
Cara untuk menyediakan ayam, mula-mula kisar halus bawang besar halia, lengkuas, bawang putih kunyit hidup, serai buah keras dengan air separuh tenggelam.
Selepas itu gaul ayam dengan garam, gula, serbuk pati ayam, serbuk cili, sos tiram, separuh bahan kisar dan sedikit perahan limau nipis.
Setelah itu perap ayam selama ½ hingga satu jam dan kukus ayam selama 15 minit.
Cara untuk menyediakan kuahnya pula, mula-mula panaskan minyak dan tumis bahan kisar halus, cili kisar dan serbuk cili, masak sampai pecah minyak.
Selepas itu masukkan sedikit air asam jawa, garam dan gula Melaka. Sambung masak sampai kering.
Kemudian tuang kuah perapan ayam dan susu sejat. Tambah air bancuhan tepung jagung, masak sampai kuah mendidih dan boleh tutup api.
Cara untuk membakarnya pula, mula-mula bakar ayam kedua-dua belah.
Kemudian celup ayam dalam kuah percik dan bakar lagi sekali.
Selepas itu tambah lagi kuah atas ayam semasa membakar.
Apabila sudah selesai dipanggang, angkat dan ia pun sedia untuk dihidang.
Sebagai tip tambahan pula, sebelum perap kelar dulu isi ayam, tujuannya agar rempah perap cepat menyerap dan ayam cepat masak.
Jika suka kuah yang cair, boleh tambah sedikit air semasa masak kuah. Selamat mencuba.
BAHAN-BAHAN:
• Bahan untuk ayam:
o 1 ekor ayam (bahagian paha)
o 2 sudu kecil garam
o 1/2 sudu besar gula
o 1 sudu besar serbuk pati ayam
o 1/2 sudu besar serbuk cili
o 1 sudu besar sos tiram
o Sedikit perahan limau nipis
• Bahan untuk kisar:
o 2 biji bawang merah besar
o 1 inci halia
o 1 inci lengkuas
o 4 ulas bawang putih
o 1 kunyit hidup
o 2 batang serai
o 3-4 biji buah keras
• Bahan untuk kuah:
o 1 mangkuk kecil minyak masak
o 2 senduk cili kisar
o 1 sudu besar serbuk cili
o Sedikit air asam jawa
o Garam secukup rasa
o Gula melaka secukup rasa
o 1 tin Susu Isian Sejat F&N
o Sedikit bancuhan tepung jagung (untuk pekatkan kuah jika perlu)