LINAN, CHINA – Gelak ketawa tercetus daripada peserta yang sedang khusyuk bermain mainan papan sambil menikmati kopi di kotej luar bandar di wilayah timur China Zhejiang, salah satu daripada ruang penginapan yang hanya dihuni wanita sahaja jauh daripada tekanan sosial dan kritikan lelaki.
Wanita datang untuk berkongsi perjalanan hidup bersama dan ‘bercakap secara bebas tentang perkara intim’ manakala yang lain mencari teman atau perlindungan daripada gangguan, beritahu peserta kepada AFP selepas memasak roti kukus di dapur terang yang menghadap ke pergunungan.
“Persekitaran semua wanita membuatkan saya berasa selamat,” kata Zhang Wenjing, 43.
“Dalam kalangan wanita, kami lebih mudah bercakap tentang perkara tertentu,” tambahnya.
Chen Fangyan, 28, berkata dia berasa lebih selesa tanpa kehadiran lelaki.







“Tidak dipaksa memakai coli sudah terasa semacam kebebasan.”
Permintaan untuk ruang jantina tunggal – termasuk bar, gimnasium, asrama dan hab kerja bersama – telah berkembang di China, apabila wanita memiliki kuasa ekonomi yang meningkat untuk mendapatkan ketenangan fikiran dan keselamatan fizikal.
Di ‘Keke’s Imaginative Space,’ para peserta membayar 30 yuan (AS$4.17) untuk satu malam, dengan kos meningkat sehingga 80 yuan dari hari keempat.
Pengasas Chen Yani, digelar ‘Keke,’ memberitahu AFP dia bermotivasi untuk membuka ruang bilik selepas pengalaman buruk dengan lelaki di tempat kerja.
“Saya menghadapi pelbagai jenis gangguan daripada lelaki, sehingga saya sering mendapati diri saya tidak dapat bekerja seperti biasa,” kata wanita berusia 30 tahun itu.
“Saya mula berfikir tentang bagaimana rasanya berada dalam persekitaran kerja yang selamat dan santai… tempat di mana saya tidak akan berasa bimbang.”
TERIMA SEGALA KELEMAHAN
Chen bermula dengan mengubah suai sebuah rumah di Lin’an, pinggir bandar Hangzhou, kira-kira 200 kilometer dari Shanghai.
Percaya bahawa wanita lain mungkin berkongsi hasratnya untuk mempunyai tempat tinggal di mana mereka berasa selesa, dia menganjurkan penginapan sempena Tahun Baharu Cina di Xiaohongshu, juga dikenali sebagai Rednote.
Dua belas wanita menyertainya.
Ada yang mahukan perubahan pemandangan pada hari raya, yang lain ingin melepaskan diri daripada pertanyaan atau tekanan yang mengganggu daripada saudara-mara, termasuk gesaan meminta berkahwin dan mempunyai anak.
“Dalam keluarga, kaum wanita selalunya perlu menjaga atuk, nenek, anak dan kerja rumah. Apatah lagi tanggungjawab kerja,” katanya. “Mereka memerlukan tempat di mana mereka tidak perlu memainkan peranan dan hanya mengekspresikan diri mereka tanpa berpura-pura.”
Kebebasan ekonomi wanita yang semakin meningkat – serta peluang pendidikan – bermakna mereka mempunyai skop pilihan yang lebih luas, kata Yuan Xiaoqian, 29, seorang peserta.
“Mereka boleh memberi lebih tumpuan kepada diri mereka sendiri… dan keperluan baharu,” katanya.
Media sosial juga mendedahkan wanita kepada gaya hidup alternatif – terutamanya Rednote, yang menawarkan semakin banyak pilihan untuk mencari komuniti.
Di Xiuxi, sebuah kampung di Zhejiang, Yang Yun membuka ‘Her Space’ pada bulan Jun untuk menawarkan wanita ‘syurga rohani.’
Dengan perabot desa dan kaligrafi di dindingnya, tempat penginapan ini mempunyai suasana hotel kecil namun selesa.
Ideanya, katanya, adalah untuk memastikan wanita sentiasa mempunyai tempat untuk pergi.
“Jika (seorang wanita) kehilangan pekerjaan, ibu bapanya, bertengkar dengan suaminya, atau berasa letih dengan kehidupan bandar, dia tahu dia boleh datang ke sini dan mencari ketenangan,” kata Yang.
Setakat ini, 120 wanita telah membayar yuran keahlian 3,980 yuan untuk menyertai kelab yang berkembang pesat itu.
“Sama ada mereka datang atau tidak itu tidak penting. Yang penting tempat ini wujud. Ia memberi mereka kekuatan mental,” kata Yang.
WANITA MASIH KEKURANGAN TEMPAT
Pengkritik mendakwa bahawa komuniti jantina tunggal memupuk antagonisme atau penentangan antara lelaki dan wanita.
Di Keke’s Imaginative Space, Chen Yani menafikan bahawa siapa-siapa memendam perasaan antipati terhadap lelaki dan menegaskan wanita mempunyai hak untuk mendapatkan ruang mereka sendiri.
“Wanita membentuk kumpulan sosial yang berkongsi pengalaman dan masalah kehidupan. Adalah lebih mudah untuk mereka memahami antara satu sama lain dan menunjukkan empati,” katanya.
Sementara dia masih belum memperoleh keuntungan, Chen berkata ia tidak relevan dan tidak penting.
“Selagi ada permintaan, tempat ini akan terus wujud,” katanya.
Pengasas ruang budaya semua wanita ‘Half the Sky’ di Beijing, Lilith Jiang, berkata kemudahan berorientasikan komuniti ini mengisi kekosongan.
“Lelaki mempunyai banyak peluang untuk bersosial, ketika minum atau semasa bersenam,” katanya.
“Wanita tidak mempunyai peluang itu.”
Selain itu, dia berkata struktur bukan tradisional boleh menawarkan alternatif untuk wanita bujang yang bimbang tentang penuaan sendiri.
“Wanita sentiasa diberitahu: ‘Jika awda tidak berkahwin, apa akan jadi dengan awda apabila awda semakin tua?'” kata Jiang.
“Namun dalam jangka panjang, ruang penginapan bersama yang dikongsi semua wanita di mana wanita boleh menua bersama boleh menjadi satu penyelesaian.” – AFP

