Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nikmati khasiat buah ‘si merah menawan’

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    Warna merah isi buah delima memang menggoda dan menggugah selera.

    Selain rasanya yang manis, sedikit masam dan kelat, buah delima juga merupakan ubat alami untuk menyembuhkan pelbagai penyakit.

    Bentuk bulat pada luaran buah delima dengan warna merahnya seakan menyerupai bentuk buah epal itu juga dikenali dengan nama saintifiknya, Punica granatum. Dalam Bahasa Inggeris, dipanggil pomegranate.

    Apa yang paling unik dan tiada pada buah-buahan lain adalah isi buah di dalamnya. Ia terdiri daripada butiran-butiran kecil merah yang memiliki rasa manis atau masam-masam manis apabila telah masak dan kelihatan begitu menarik seakan-akan butiran batu permata.

    “Dengan pengambilan buah ini secara rutin dan teratur, ia sememangnya menjadi salah satu ikhtiar kita untuk mencegah risiko pelbagai penyakit.

    Eddy dan Lai (tengah) tekad mengusahakan perusahaan menerusi perahan jus buah delima segar kepada lingkungan masyarakat khususnya di negara ini.
    Proses mengupas dan memerah jus buah delima.

    Warna merah isi buah delima memang menggoda dan menggugah selera, selain rasanya yang enak, ia juga merupakan ubat alami untuk menyembuhkan pelbagai penyakit.

    “Dengan antioksidan yang tinggi yang dimiliki dalam kandungan nutrisi pada buah ini sememangnya ia mampu membantu meneutralkan radikal bebas berbahaya dalam badan dan boleh membantu mencegah perkembangan penyakit kronik seperti kanser dan penyakit jantung,” begitulah antara kata-kata yang dikongsikan oleh pengusaha produk jus buah delima segar, Eddy Hii Hieng Dee dan isterinya, Lai Yea Eng sebaik penulis bersama dua orang rakan media yang pada ketika itu kebetulan berada di hadapan petak jualan mereka untuk mencari minuman bagi melegakan rasa dahaga.

    Selain itu, Eddy turut menekankan buah delima juga mampu menurunkan tekanan darah dan tahap kolesterol seseorang, di samping menguatkan sistem penghadaman dan membersihkan usus, serta melancarkan peredaran darah terutamanya bagi para pengamal jus buah tersebut.

    Sambil menanti minuman jus yang ditempah siap mengikut giliran, kami cuba bertanya lanjut mengenai serba sedikit perjalanan kisah perusahaan mereka di bawah nama Delimanis.bn.

    Apabila mengimbas detik membuka tirai menjalankan jualan jus buah delima ini, pengusaha suami isteri ini terus berkongsi keyakinan mereka hanya berbekalkan prinsip ‘segudang kebaikan’ yang terkandung dalam buah delima ini di situlah mereka tekad mengusahakan perusahaan menerusi perahan jus buah delima segar kepada lingkungan masyarakat khususnya di negara ini.

    Eddy berkata mereka memulakan perusahaan berkenaan sejak tahun 2021 sekitar bulan Ogos semasa gelombang kedua pandemik COVID melanda negara.

    “Menyedari pada saat itu, semua orang sudah mula menitikberatkan penjagaan kesihatan dan keselamatan diri iaitu salah satunya meningkatkan imuniti tubuh badan diri dan insan-insan tersayang agar terhindar daripada sebarang jangkitan virus maka pada ketika itulah adanya cetusan idea untuk menghasilkan produk jus ini.

    “Kami berniaga sambil sama-sama berkongsi manfaat buah delima ini kepada orang awam melalui meminum jus segar sehinggalah sekarang,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Eddy turut mengongsikan memandangkan buah delima ini merupakan sejenis buah bermusim yang hanya diperolehi dari negara-negara luar maka kebiasaannya mereka sentiasa berusaha melakukan pembelian import buah tersebut sepanjang tahun mengikut musim-musim negara-negara tersebut agar stok buah mencukupi untuk bahan jualan dari semasa ke semasa.

    “Bagi stok buah delima yang kami perah menjadi jus pada ketika ini berasal dari Mesir.

    Seperti di negara-negara luar seperti Malaysia, Dubai, India, Mesir dan Iran, mereka dilihat sudah lama mengusahakan jenis perniagaan jus buah sebegini. Itulah juga menjadi sebuah inspirasi kepada kami untuk melakukan perusahaan jus buah ini di lingkungan pasaran tempatan kita,” kongsi beliau.

    Sementara Lai turut menambah, dengan mengetengahkan dua jenis saiz botol yang anggarannya memerlukan antara lebih sebiji sehingga tiga biji buah delima itu dibersihkan terlebih dahulu dan dibelah dua sebelum diperah dengan menggunakan peralatan khas untuk mendapatkan jus-jus segar secara langsung.

    Ujar Eddy lanjut, dalam memastikan kualiti stok buah delima yang dibeli berkenaan sentiasa terjamin kesegarannya serta lebih tahan lama maka mereka akan meletakkannya dalam peti penyimpanan sejuk khas yang tersedia di kedai milik mereka yang terletak di sekitar Kampung Mentiri.

    “Sememangnya kami tidak pernah mengantar produk jus delima di kedai-kedai atau gedung pasa raya di negara ini kerana satu perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah biarlah kesegaran asli jus buah ini dapat dinikmati oleh para penggemarnya secara langsung.

    “Perlu diketahui jus buah delima yang diperah ini tiada bahan pengawet dan juga tiada tambahan gula, dan pastinya ia tidak dapat tahan lama. Kebiasaannya ia mampu bertahan antara tujuh hingga 10 hari sahaja jika disimpan dalam peti sejuk. Alangkah baiknya ia diminum terus tanpa perlu disimpan terlalu lama di peti sejuk,” ujarnya yang begitu mementingkan kepuasan para pelanggannya demi meraih kebaikan bersama.

    Pada akhir pertemuan, pengusaha suami isteri yang ramah ini mengatakan mereka turut menanti-nantikan apa sahaja ekspo mahu pun bazar yang diungkayahkan di negara ini untuk disertai kerana mahu pembeli melihat sendiri cara pemprosesan jus buah delima secara langsung bagi meyakinkan kandungan keaslian alami buah tersebut sebelum mereka menikmatinya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda