Saturday, December 28, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nikmati kopi O di kedai retro ladang kelapa sawit

    KEPALA BATAS – Jika awda sudah jemu dengan suasana kedai kopi moden di bandar, awda patut cuba menikmati kopi O bersama biskut di sebuah warung berkonsep retro 70an di Kampung Lahar Tiang, Kepala Batas, Pulau Pinang.

    Dikenali ‘Kopi Khita’, warung terletak di tengah ladang kelapa sawit itu diilhamkan daripada gaya klasik dengan menampilkan cawan antik, cerek, surat khabar Utusan Melayu, majalah Dunia Sukan sekitar 1970an, bangku kayu serta perabot antik yang mengekalkan pesona desa zaman dahulu.

    Diusahakan oleh Muhammad Zaini Md Radzi, 29, yang mesra dipanggil Mat Eni, Kopi Khita menyajikan kopi O dan biskut empat segi secara percuma kepada pengunjung.

    Antara pengunjung warung itu ialah ahli kelab motosikal retro 70an yang datang merakam gambar bagi mengembalikan nostalgia era berkenaan.

    “Pengunjung yang datang ke sini adakalanya menggayakan fesyen retro bagi menghidupkan suasana,” katanya kepada Bernama.

    Pengasas warung ‘Kopi Khita’ Muhammad Zaini Md Radzi, juga dikenali sebagai Mat Eni mengilhamkan warung berkonsepkan suasana retro era 70an dan menyajikan kopi hitam dan biskut percuma kepada tetamu di tengah ladang kelapa sawit Kampung Lahar Tiang di sini. – Gambar Bernama
    Orang ramai tidak melepaskan peluang menikmati kopi hitam dan biskut percuma di warung ‘Kopi Khita’ yang berkonsepkan suasana retro era 70an di tengah ladang kelapa sawit Kampung Lahar Tiang di sini. – Gambar Bernama
    Akhbar lama Utusan Melayu disusun di kedai kopi itu bagi membangkitkan suasana era 70an. – Gambar Bernama
    Gambar Bernama
    Gambar Bernama
    Gambar Bernama

    Mat Eni berkata Kopi Khita hanya dibuka pada Ahad antara 2 petang hingga 7 malam dan beliau tidak mempunyai niat untuk menjadikannya sebagai perniagaan sebaliknya hanya menyediakan kotak sumbangan bagi pengunjung memberi sedikit sumbangan bagi beliau membeli semula serbuk kopi dan biskut.

    Menurut Mat Eni, sebelum ini beliau menyajikan kopi O bersama biskut menggunakan motosikalnya berhampiran kawasan sawah sambil melihat keindahan matahari terbenam.

    Anak jati Kampung Lahar Tiang itu berkata Kopi Khita merupakan inisiatifnya bagi memperkenalkan kampungnya yang terletak di sempadan Pulau Pinang-Kedah berhampiran Sungai Muda.

    Kopi Khita dibuka dua tahun lepas sebelum tular menerusi media sosial pada tahun lepas apabila pengunjung memuat naik gambar dan video berlatarbelakangkan warung itu.

    Seorang pengunjung, Faizal Mohamad berkata beliau datang ke Kopi Khita selepas mengetahuinya menerusi media sosial selain turut meminati barangan retro.

    “Saya sangat suka suasana ini. Mencecah biskut bersama kopi O sambil menikmati keindahan alam semula jadi memberikan ketenangan kepada saya,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda