Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Dis – Seramai 56 seniman tempatan dalam empat genre yang berbeza membuat persembahan secara langsung pada acara The Big Jam anjuran The Collective Art Events dan Do It Good Records, dengan kerjasama Festival Disember Brunei oleh Kementerian Perindustrian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan minggu ini.
Acara akhir hujung minggu ini, bagi festival selama empat hari itu, yang diadakan pada 23, 24, 30 dan 31 Disember ini, akan diadakan di Nerdee Cafe, Yugo, Energy Kitchen dan Krema. Manakala bagi acara utama festival itu pula akan diadakan di Ibu Pejabat Progresif pada 31 Disember 2017 ini.
Tahun kedua acara ini The Collective Art Events menjadi tuan rumah kepada gabungan pemuzik tempatan yang akan membuat persembahan mereka di kafe dan restoran tempatan, di sini.
Tujuan utama The Big Jam ini diadakan adalah untuk menyediakan platform kepada para pemuzik mempromosikan muzik mereka serta meningkatkan kualiti industri muzik di Negara Brunei Darussalam.
Ini adalah acara klasik untuk penggemar muzik yang ingin menikmati pengalaman muzik secara langsung dan mesra keluarga serta menyokong perjuangan muzik tempatan.
Hujung minggu ini, The Big Jam bakal menampilkan pelbagai jenis genre muzik yang terdiri dari hip hop & RnB, band, akustik dan juga instrumental.
Pemuzik-pemuzik tempatan yang memiliki genre yang berbeza ini terdiri dari Secret Signal, Fauzan & Khalique, Azizi Sabri, Hurricane Honey, Jupiter Waves, Tropicall Hornbill dan banyak lagi.
Bagi acara serentak yang diadakan pada 30 Disember ini nanti akan menampilkan persembahan hip-hop & RnB bertempat di Nerdee Café yang dipersembahkan oleh Ahmad Syauqie & Wafi Ismail, Azizi Ali Sabri, Beluga dan Ali Zaman.
Di restoran Krema, Kiulap pula akan diadakan persembahan band dari kumpulan Bad Secret Signal, Jupiter Waves dan Rocket ke Bulan manakala di Energy Kitchen pula akan menampilkan persembahan akustik yang terdiri dari Ummi K, Alex Norris, Akmal J, Ruby & Martin, Hairul Latif, Huwira, Gette and Ernei dan Syafiq Abdilah.
Di Yugo pula akan diadakan persembahan instrumental yang akan menampilkan persembahan dari Contessa Music School, Jay dan Qaeluna.
Sementara itu pada acara utama yang akan diadakan di Ibu Pejabat Progressif, Gadong, The Big Jam pula akan menampilkan persembahan daripada Adinosaurr, FN Duo, Syafiq Abdilah, Rudy, Arif Zainuddin, Alex Norris, Fauzan & Khalique, Billah dan Shah, Azizi Sabri, Hurricane Honey, Tropical Hornbills, Astroturf dan The TV.