SEOUL – Di sepanjang jalan di Seoul di mana kepelbagaian masakan semakin berkembang pesat, restoran sajian asli Mediterranean merupakan sesuatu yang jarang ditemui.
Terletak di kawasan kejiranan kediaman Ichon-dong, hanya sepuluh minit berjalan kaki dari Muzium Negara Korea, terdapat sebuah restoran khusus menyajikan masakan Mediterranean.
Restoran tersebut dilengkapi dengan papan tanda warna biru termasuk bahagian dalamannya. Kedai makan itu mencerminkan kegemaran penduduk bandar terhadap cita rasa Mediterranean sejak ia dibuka pada 2021.
Restoran itu mempunyai kira-kira 30 hidangan menu, termasuk pembuka selera, roti rata, pasta, nasi serta lasagna dan beberapa hidangan utama.
Pemilik restoran itu, cef Lee Kyu-na, berusia 34 tahun, menyusun setiap item menu dengan teliti, kebanyakannya diinspirasikan daripada pengembaraannya ke Greece, Sepanyol, Itali dan Turkiye.




“Saya adalah pelajar program pertukaran di Istanbul semasa saya belajar di universiti, dan ia merupakan pertemuan pertama saya dengan masakan Mediterranean, di mana saya jatuh cinta serta-merta dengannya,” beritahu Lee kepada The Korea Herald.
“Keupayaan makanan Mediterranean untuk menghasilkan rasa asli daripada bahan-bahan yang digunakan di samping menawarkan hidangan yang segar, ringan, berkhasiat dan lazat telah memikat hati saya, dan saya berharap penduduk di Korea boleh menikmatinya juga,” tambahnya.
Di Istanbul, Lee berpeluang meneroka dan menikmati pelbagai masakan. Sekembalinya ke Korea, dia mendapati dirinya kerap menyediakan hidangan Mediterranean untuk keluarga dan kawan rapatnya, didorong oleh kenangan indah kunjungannya ke Istanbul.
Di restorannya, bermula dari doh roti pita kepada sos, malahan vin chaud hingga kek pencuci mulut, walnut Greek, semuanya disediakan di restoran itu, bagi mencerminkan komitmen restoran untuk menyampaikan rasa Mediterranean yang segar.
Bagi pengunjung baharu dan pertama kali ingin merasai sajian restoran itu, Lee menyarankan mencuba hummus, lasagna terung atau ayam Greek.
“Saya suka rasa kacang kuda, dan hummus sebagai pelengkap yang sempurna,” katanya sambil menambah bahawa ia sesuai dengan mana-mana hidangan.
Lasagna terung buatan sendiri, dengan kehangatan dan rasa yang seimbang, berbeza daripada versi lasagna yang lebih berat dan dilengkapi dengan limpahan keju yang banyak.
Ayam Greek, diperap dengan pelbagai herba dan rempah-ratus, menawarkan gabungan rasa Mediterranean yang menarik.
Restoran berkenaan memberikan keutamaan kepada kualiti ramuannya, dengan mendapatkannya daripada pengimport produk makanan Eropah dan menguji setiap satu dengan teliti untuk memastikan kualiti yang tinggi.
Lee menasihati pelanggan yang pertama kali berkunjung ke restorannya untuk membuang andaian bahawa hidangan berperisa perlu mempunyai rasa masin atau pedas.
“Ramai pelanggan Korea menghargai gaya masakan kami yang sederhana dan seimbang.
Tidak seperti masakan Korea, yang dipenuhi dengan pelbagai rempah-ratus dan sos yang ditapai, hidangan Mediterranean adalah serba ringkas di mana ia hanya bergantung pada tomato segar, minyak zaitun, keju dan roti.
“Saya harap pengalaman menjamu selera boleh menjadi masa santai bersama orang tersayang, seolah-olah mereka sedang mengembara ke Mediterranean.” – ANN/The Korea Herald

