Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Peminat tegar durian atau dirujuk sebagai ‘hantu durian’ kini berpeluang menikmati dan mendapatkan antara durian premium iaitu Durian Duri Hitam semasa Mini Ekspo Pertanian dan Agri Makanan, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini.
Durian Duri Hitam terkenal dengan harga premium dan rasa yang unik. Isi durian itu berwarna pinang masak, manakala rasanya manis dan lemak berkrim dengan sedikit pahit, teksturnya yang halus lembut sangat memikat selera, ujar Pengurus dan Pengimport Durian Duri Hitam, Dayang Mimi.
Jika diamat-amati, Durian Duri Hitam yang juga dikenali sebagai Ochee itu kelihatan sama seperti durian lain, berduri dan berwarna hijau.
Dayang Mimi menjelaskan, durian itu mendapat namanya kerana terdapat duri halus berwarna hitam jika diperhatikan dengan teliti.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P10-2A_041117.jpg)