Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Hotel Radisson Brunei Darussalam kembali lagi dengan bufet Ramadan eksklusifnya, menawarkan hidangan tradisional dan antarabangsa menyelerakan untuk mencipta pengalaman berbuka puasa yang tidak dapat dilupakan untuk semua.
Diadakan di restoran hotel, Tasek Brasserie, para pengunjung boleh menjangkakan pilihan hidangan yang menarik pada harga berpatutan.
Tumpuan utama adalah BBQ Roast & Grill Live Station yang menampilkan pilihan yang menambat selera seperti sayap ayam salai, beef minute steak, ikan bakar perap sambal dan kambing panggang, dilengkapi dengan pelbagai sos.
Tambahan baharu kepada tawaran bufet ialah Tandoori Live Station, di mana pengunjung boleh menikmati naan, kebab chicken seekh, paneer tikka dan digandingkan dengan variasi chutney dan acar cili.
Bagi mereka yang mengidamkan hidangan istimewa Brunei, kunjungi Ambuyat Live Station dan nikmati hidangan kegemaran tradisional seperti tempoyak, cencaluk, binjai dan sup tahai.
Sementara itu, hidangan utama menampilkan masakan menyelerakan termasuk gulai daging lembu, ikan asam pedas, butter prawn nestum, ayam bakar ketuhar dengan sos thai manis, paru rebus dengan sayur-sayuran termasuk ketam cili singapura, yang dimasak istimewa.
Pengunjung muda tidak dilupakan kerana terdapat sudut kanak-kanak khusus yang menampilkan nasi goreng corned beef, wedges kentang, nuget ayam dan kek cawan berwarna-warni untuk memastikan mereka gembira.
Hidangan pencuci mulut turut disajikan melalui Dessert Live Station, yang menjanjikan pilihan yang hebat.
Selain itu, para pengunjung juga boleh menikmati kuih tradisional termasuk toffee entremets, kek opera, kek pandan, kek batik milo, bingka, kuih talam, bubur pulut hitam dan buah-buahan segar, berserta pelbagai jenis biskut dan keropok.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Hotel Radisson Brunei Darussalam, Miriam Wolber menyatakan ketika menyambut bulan Ramadan yang mulia, mereka berbesar hati untuk menyediakan tempat di mana keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja boleh berkumpul untuk berkongsi kegembiraan berbuka puasa.
“Pasukan kami telah menyusun menu dengan teliti yang mempamerkan masakan tradisional dan kontemporari terbaik, memastikan pengunjung kami mendapat pengalaman berbuka puasa yang benar-benar istimewa,” tambahnya.
Selain itu, kawasan solat khusus akan disediakan untuk tetamu yang ingin menunaikan solat Maghrib.