Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nilai duit 10 sen

    Oleh Aima Aidi –

    Empat tahun yang lalu, aku mengalami satu mimpi yang mana tidak mungkin aku lupakan sampai bila-bila walaupun tidak pasti sehingga sekarang sama ada ianya benar ataupun tidak.

    Di dalam mimpi tersebut, aku bertemu dengan seorang lelaki tua di suatu tempat terasing yang tidak pernah aku kunjungi. Lelaki tua tersebut berpakaian serba kuning serta berjambang putih yang hampir menutupi sebahagian mukanya dan nampaknya sudah terlalu uzur.

    Aku hanya memperhatikan lelaki tersebut tanpa berkata apa-apa kerana lidahku seakan-akan kelu untuk berkata walaupun hatiku bagaikan digaru-garu untuk bertanya siapakah dia sebenarnya dan kakiku juga terasa berat untuk melangkah pergi.

    Mungkin melihat aku terpana, lelaki tua tersebut menghampiriku dengan tergesa-gesa, walaupun pada pandanganku dia terlalu uzur tetapi caranya berjalan sama seperti orang muda, pantas dan gagah.

    “Kau anak yang baik. Ambillah wang 10 sen ini dan simpanlah baik-baik. Walaupun nilainya kecil tapi sungguh berharga dan berusahalah demi kehidupanmu di masa hadapan,” dia berkata sambil mendekatiku.

    Gambar Freepik

    Kemudian dia menghulurkan wang 10 sen kepadaku dan mengarahkan agar aku menghulurkan tanganku untuk mengambil wang tersebut.

    Pada mulanya aku merasa ragu-ragu tetapi melihat kesungguhan wajahnya, akhirnya ku hulurkan juga tangan kananku untuk menyambut wang tersebut dan tanpa melihatnya terlebih dahulu ku sisipkan wang tersebut ke dalam bantal yang kebetulan sekali terletak di samping ku.

    Baru saja aku ingin mengucapkan terima kasih pada lelaki tersebut, tiba-tiba sahaja dia menghilangkan diri dan kerana terkejut akhirnya aku terjaga. Aku beristighfar berkali-kali sambil membaca surah-surah yang terlintas di fikiranku di saat itu. Setelah hatiku menjadi tenang sedikit, akupun meneruskan tidur kerana pada anggapanku mimpi tersebut hanyalah khayalan dan mainan tidur semata-mata.

    Pada keesokan harinya, setelah mandi aku mengemas tempat tidur seperti biasanya. Tiba-tiba sahaja aku terkenang mimpiku semalam lalu, ku angkat bantalku untuk memastikan apa yang aku mimpikan semalam adalah benar.

    Di bawah bantalku terdapat sekeping wang bernilai 10 sen, lalu ku telek wang tersebut sambil berfikir apakah aku berkhayal semalam ataupun sememangnya sudah ada wang tersebut di bawah bantal dan apa yang aku mimpikan semalam hanyalah secara kebetulan sahaja. Aku menjadi keliru dan bingung memikirkan mimpi tersebut.

    Lalu kuceritakan kisah mimpi tersebut kepada ayah dan ibuku dan tidak lupa juga keserahkan wang tersebut sebagai bukti. Aku ingin mendengar apa pendapat mereka tentang wang tersebut.

    Memang pada mulanya seluruh keluargaku tidak percaya malah menganggap aku terlalu banyak berkhayal tetapi setelah ku yakinkan berkali-kali sambil menunjukkan buktinya barulah mereka mahu mengerti dan percaya.

    Wang tersebut kuserahkan kepada ayah untuk disimpan sebab jika masih berada di tanganku mungkin aku tidak sedar dan akan membelanjakannya.

    “Simpan sajalah wang tu manalah tahu itu adalah kepala rezeki,” ibu berkata secara bergurau.

    Kebetulan juga pada masa tersebut aku baru sahaja selesai menjalani peperiksaan ‘O’ level dan sedang menunggu keputusan. Dan aku berhasrat untuk mencari pekerjaan sementara bagi mengisi masa lapangku.

    Sudah banyak kerja aku pohonkan tetapi tidak ada satu pun yang sangkut sehingga aku putus asa dan mengambil keputusan untuk diam sahaja di rumah sehingga keluar keputusan.

    Apabila aku teringat mimpi tersebut hatiku akan berkata-kata dan mengeluh sambil tertanya-tanya manakah dia rezeki untukku itu? Kadang-kadang aku menyesal berkata begitu kerana apa juga rezeki semuanya datang dari Allah dan bukannya dari sesuatu benda.

    Seminggu selepas peristiwa itu, aku mendapat tawaran kerja sebagai kerani di sebuah syarikat milik saudara sebelah ayah. Aku yang sememangnya tercari-cari pekerjaan pada masa itu dengan senang hati menerimanya. Apabila ku fikirkan kembali, apakah benar wang tersebut merupakan kepala rezeki dalam kehidupanku? Entahlah, tapi yang pasti selepas kejadian itu, rezekiku datang mencurah-curah.

    Bukanlah aku percaya seratus-peratus tetapi mungkin itu adalah salah satu jalan Allah ingin menunjukkan kebesarannya dan rezeki bagi seseorang itu tetap ada sama ada cepat ataupun lambat, yang penting kita harus berusaha untuk mendapatkannya.

    Selang setahun kemudian, aku bermimpi sekali lagi berjumpa dengan lelaki tersebut. Dia berpesan menyuruh aku membungkus wang tersebut dengan kain kuning dan menyimpannya baik-baik.

    Seperti biasanya kuceritakan perihal mimpi tersebut kepada ayah dan ibuku. Kata mereka jangan terlampau percaya dengan mimpi manalah tahu itu adalah helah syaitan untuk menyesatkan hamba Allah yang lemah.

    Pada tahun lepas, sekali lagi aku bermimpi bertemu dengan lelaki tersebut dan seperti yang lalu dia mengarahkan aku membuat perkara yang sama iaitu membungkusnya dengan kain kuning.

    Tetapi sehingga sekarang tidak juga aku hiraukan mimpi tersebut dan aku hanya bertawakal kepada Allah agar diriku dan juga keluargaku sentiasa dalam lindunganNya juga.

    Aku takut jika terlalu memikirkan hal tersebut ianya akan memesongkan akidahku nanti kerana bagiku rezeki itu ada di mana-mana dan rezeki yang aku peroleh sekarang adalah kurnia dari Allah SWT jua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda