Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nilai estetika dalam pena berkualiti

    LONDON – Bilakah kali terakhir awda menulis surat kepada seseorang dengan tangan? Ketika orang ramai semakin bergantung pada komputer riba dan telefon bimbit dalam kehidupan mereka, seni tulisan tangan yang sentiasa ada di mana-mana nampaknya berisiko pupus.

    Namun di sebuah hotel di London pada pagi Ahad baru-baru ini, beribu-ribu orang hadir untuk membuktikan bahawa pen yang sederhana itu mungkin tidak akan menemui nasib yang sama dengan dinosaur.

    Pada Pameran Pen Musim Luruh London, yang merupakan salah satu daripada enam acara yang dirancang dari Pameran Pen UK pada tahun 2024, awda boleh mendapati diri awda berdepan beberapa pen yang paling elegan dan mahal di planet ini – dan orang sanggup membayar harga yang lebih tinggi untuk memilikinya.

    Salah seorang penjual pen ialah John Sanderson, 72, yang menjual ciptaan buatan tangannya dengan nama Silverburl Pens. Seorang jurutera yang sudah bersara, Sanderson membuat pena pertamanya hampir 50 tahun yang lalu sebagai cara untuk menangani disleksia.

    “Saya tidak boleh menulis dan mengeja,” katanya, “dan ia adalah sesuatu yang sentiasa membuat saya terpesona. Jadi, saya mencipta pen, berfikir, ‘Saya akan belajar membaca dan menulis.’

    Sarj Minhas bersama penanya, termasuk Namiki Emperor ‘Hagi,’ yang dijualnya pada harga lebih AS$25,000. – ANN/The Straits Times
    Bagi pengumpul dan penggemar pen, alat tulis paling unik boleh berharga beberapa ribu dolar. – ANN/The Straits Times
    Pelanggan melihat pen yang dipamerkan semasa Pameran Pen Musim Luruh London. – ANN/The Straits Times
    Pelbagai jenis pen dipamerkan di petak Mr Francesco Alfarano di Pameran Pen Musim Luruh London. – ANN/The Straits Times

    Kini, dia telah menghasilkan pen untuk orang di seluruh dunia.

    Para hadirin pameran itu disatukan oleh minat mereka terhadap pen.

    Pada bulan Julai, Michaela Staton, 52, mendapat bonus di tempat kerja dan berbelanja membelikan sebatang pen baharu – Laban 325 Sakura pada harga kira-kira AS$125. Ini adalah pameran pen pertama yang dikunjunginya dan dia telah menumpukan perhatiannya pada model khas, iaitu pen Esterbrook Estie Botanical Gardens.

    Mareen Goebel, 49, sebaliknya, merupakan veteran tiga pameran pen dan dia membawa bersama kotak yang penuh dengan pen, termasuk kegemarannya, Pelikan M805 Ocean Swirl berwarna jingga, yang dibayarnya pada harga kira-kira AS$485.

    “Saya rasa saya boleh dirompak kerana pen ini,” katanya, “disebabkan ia jelas sangat popular dan tiada siapa yang menjual pen mereka.”

    Semasa kunjungan ke pameran ini, dia ingin mencari pen untuk meraikan persaraannya dan telah menetapkan sendiri peruntukan kira-kira AS$1,300 – harga yang besar untuk pengguna biasa, tetapi bukan harga yang melampau dalam dunia pameran pen.

    Persetujuan umum yang dicapai dalam kalangan pengunjung pameran adalah menggunakan pen untuk menulis di kertas adalah lebih bermakna daripada menaip pada gajet. “Saya berasa lebih terputus hubungan daripada maklumat yang cuba saya sampaikan semasa saya menaipnya berbanding semasa saya menulisnya,” kata Cik Staton.

    Antara pen paling mahal pada pameran itu ialah Emperor Namiki ‘Hagi’ yang telah menghentikan pengeluarannya, yang dijual oleh penggemar pena Sarj Minhas pada harga hampir AS$20,000. Ia adalah pen yang menarik dengan reka bentuk bunga musim luruh emas berlatarkan lakuer hitam dan mata pen emas 18K.

    Minhas, 53, telah mengumpul pen lebih daripada 25 tahun dan memiliki koleksi yang banyak sehingga dia dikenali oleh sesetengah dalam komuniti pen antarabangsa sebagai ‘pameran pena satu-satunya individu.’

    Dia percaya bahawa sesetengah pen bertujuan untuk terus dipamerkan, dipelihara sebagai pusaka untuk generasi akan datang. “Awda sebenarnya tidak menulis menggunakan pen dengan kualiti ini,” katanya.

    “Ini adalah seni yang berkualiti tinggi.”

    Pameran itu tidak terhad kepada pembeli dan penjual.

    Sesiapa sahaja yang bergelut untuk mendapatkan penanya untuk menulis boleh mendapatkan bantuan nibmeister seperti Philip Landsiedel.

    Lelaki berusia 30 tahun itu, yang memakai tali leher dan kot makmal putih, adalah salah seorang daripada kira-kira 10 orang yang mencari rezeki dengan menukar mata pena. Dia bekerja untuk Montblanc selama lapan tahun sebelum memulakan Landsiedel Fine Writing dua tahun lalu. Dengan menggunakan mikroskop, dia akan menukar mata pena mengikut kehendak pelanggannya.

    Ia adalah perkhidmatan yang direka untuk orang seperti Michael J. Fiedler, 57, yang amat menyukai tulisan tangan sehingga dia mencipta Working Journal, sebuah buku di mana gambar orang di tempat kerja diletak bertentangan dengan halaman tulisan tangan unik mereka.

    Selepas dia membeli pena dakwat, Fiedler lazimnya tidak akan menggunakannya sehinggalah dia menghantar pena itu diubah matanya oleh tukang Jepun seperti Yukio Nagahara atau Mike Masuyama.

    Walau bagaimanapun, pada pameran di London, dia membawa bersama-sama pen Sheaffer Balance 1930an dengan mata yang sangat fleksibel. “Saya mungkin tidak perlu menempah khas mata pen ini,” katanya dengan teruja.

    Satu lagi perkhidmatan yang ditawarkan adalah penyewaan pen bagi mereka yang tidak mempunyai wang beribu-ribu ringgit.

    Setelah melihat cara orang menyewa beg tangan, Jon Rabbett, 53, berpendapat perlu ada konsep seperti itu untuk dunia pena. Sejak 2018, laman webnya, pensharing.com, telah menarik kira-kira 500 ahli yang membayar antara AS$3 dan AS$13 seminggu untuk mencuba pen yang ingin diketahui mereka atau tidak mampu membelinya.

    Mengenai sebab-sebab ia menarik minat seseorang, Rabbett berkata, “Saya tidak mampu membeli vila di selatan Perancis, tetapi saya mampu bercuti di sana.”

    Sementara Goebel, yang mencari pen persaraan, berakhir membeli tiga pen. Dia jatuh cinta terhadap pen dengan warna biru berkilauan, Conway Stewart dengan harga kira-kira AS$670 dan kemudian tidak dapat menahan daripada membeli dua pen daripada Bob Nicolle, yang menggunakan gaya lakuer Jepun yang dikenali sebagai ‘urushi’.

    Untuk dua pen itu – satu model mutiara dan satu model daun emas yang kompleks – Goebel membayar kira-kira AS$1,170.

    Seperti yang dikatakan oleh Fiedler, “Awda mungkin mempunyai sesuatu dalam fikiran apabila awda datang ke pameran pen. Tetapi sering kalinya, daripada mencari pen, pen itu datang menemui awda.” – ANN/Straits Times

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda