Oleh Sim Y. H –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Bagi memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih beretika, bertanggungjawab serta memberi manfaat kepada semua peringkat tenaga pengajar dan pelajar, Kementerian Pendidikan telah menghasilkan sebuah buku panduan GenAI Guidance for Education.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dalam sembah alu-aluannya di Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-35, 2025 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Beliau juga menyembahkan bahawa sejajar dengan inisiatif pendidikan kelestarian, Kementerian Pendidikan telah melancarkan Pelan Pendidikan Hijau (2025-2035) di mana pelan itu bertujuan memperkukuh usaha kementerian ke arah menerapkan nilai-nilai lestari dan amalan hijau dalam sektor pendidikan di samping menjadi panduan strategik dalam pengemaskinian kurikulum dan pelaksanaan kokurikulum di semua peringkat pendidikan.
“Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) dan mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) global.”
Selain itu, beliau menyembahkan di bawah Inisiatif Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan, sebagai permulaan, 17 buah bilik darjah pintar telah disediakan di mana dua daripadanya telah dilengkapi dengan teknologi berasaskan tenaga suria yang membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif serta efisien melalui penggunaan teknologi berkonsepkan bilik hijau pintar hijau.

Sementara itu, bagi memastikan inovasi dalam pembangunan sahsiah pelajar, Kementerian Pendidikan telah mengemas kini sebuah buku panduan kokurikulum bagi memastikan Program Sahsiah Pelajar dilaksanakan secara berstruktur dan bersistematik.
“Program Sahsiah Pelajar merangkumi empat komponen, fizikal, kerohanian, kreativiti dan perkhidmatan yang perlu disertai oleh setiap pelajar bagi pembinaan akhlak, nilai murni dan jati diri yang kukuh.”
Beliau juga menyembahkan program pengukuhan komponen amali dalam mata pelajaran pendidikan Islam khususnya ibadah solat turut dilaksanakan melalui Program Bimbingan Solat dan Program Bilal dan Imam Cilik.
“Selain itu, Buku Kurikulum Pendidikan Khas Ugama juga telah dihasilkan untuk kegunaan pelajar berkeperluan khas.”
Yang Berhormat Datin menekankan dalam apa jua usaha dan inisiatif yang dirancang, guru tetap menjadi tonggak utama di barisan hadapan pelaksanaan. Oleh itu, perhatian khusus diberikan kepada para guru melalui latihan dan pembangunan profesional bagi memastikan kompetensi dan kemahiran inovatif mereka selaras dengan perubahan dalam landskap pendidikan.
Beliau juga menyembahkan kementeriannya telah menghasilkan Buku Garis Panduan Pelan Perkembangan dan Laluan Kerjaya Pendidik bertujuan menyejajarkan pelaksanaan program-program perkembangan kapasiti guru dengan Laluan Kerjaya Guru, Pengurusan Bakat dan Perancangan Penggantian.
Manakala itu, berkaitan kesejahteraan dan kebajikan guru, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah bagi mewakili seluruh warga guru menjunjung kasih atas keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperkenankan pemberian cuti ihsan semasa sesi penggal persekolahan.
Pemberian cuti ihsan, jelasnya, telah mula dilaksanakan pada 1 Januari 2025 dan setentunya ia adalah satu penghargaan yang amat bermakna atas pengorbanan para guru.
Bagi kepentingan penjagaan kesejahteraan mental, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyembahkan bahawa Kementerian Pendidikan sedang giat melaksanakan usaha-usaha membendung gejala buli dalam sektor pendidikan khususnya di sekolah.
Selain itu, Yang Berhormat Datin menyembahkan bermula Januari 2025, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L), Universiti Brunei Darussalam telah memperkenalkan Program Ijazah Sarjana Muda Kaunseling yang memberikan peluang kepada guru meningkatkan kemahiran dan melahirkan kaunselor profesional.

