BERKELEY, CALIFORNIA, 20 OGOS – Apple menjadi syarikat pertama di Amerika Syarikat (AS) yang mencatat nilai pasaran berjumlah AS$2 trilion tatkala teknologi terus menguasai dunia dan kehidupan orang.
Pengeluar iPhone itu mencatat peristiwa penting itu dalam perniagaan pasaran saham awal semalam apabila sahamnya mencecah lebih AS$467.77.
Saham itu kemudiannya merosot kepada AS$462.83, tetapi ia tidak menjejaskan pencapaian luar biasanya yang berlaku dua tahun selepas Apple menjadi syarikat pertama AS dengan nilai pasaran AS$1 trilion. Ini berlaku di tengah pandemik yang telah menjerumus ekonomi dalam kemelesetan teruk dan mengakibat kadar pengangguran meningkat kepada tahap paling teruk sejak Kemelesetan Besar hampir satu abad lalu.
Namun Apple dan syarikat teknologi lain seperti Microsoft, Google, Amazon, Facebook dan Netflix telah berkembang semasa krisis apabila pandemik memaksa jutaan orang bekerja, menghadiri kelas, membeli-belah dan menghiburkan diri mereka di rumah.
Ia telah menjadikan teknologi lebih penting, faktor yang mendorong pelabur merebut saham pelabur terbesar industri, serta pendatang baharu, seperti perkhidmatan persidangan video Zoom, yang melihat sahamnya meningkat tiga kali ganda pada tahun ini.
Saham Apple telah meningkat hampir 58 peratus pada tahun ini. Dalam beberapa minggu ini, pemulihaan telah dirangsang oleh berita pemecahan saham empat-untuk-satu yang diumumkan oleh Apple pada bulan lalu dalam usaha untuk menjadikan sahamnya lebih mampu dibeli oleh pelabur. – AP
