Saturday, September 23, 2023
30 C
Brunei

    -

    Nilai persahabatan jadi asas kejayaan kugiran Apple Rock Times

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Menjalin persahabatan sejak sekolah menengah dan berkongsi minat yang sama dalam bidang nyanyian menjadi ‘formula’ kepada lima rakan ini terus mempertahankan kugiran mereka, Apple Rock Times.

    Bermula selepas menamatkan sekolah pada tahun 2006, matlamat utama mereka adalah muzik dan persahabatan, bukan populariti atau keuntungan.

    Walau bagaimanapun, seiring berjalannya waktu, mereka terus aktif dalam industri muzik tempatan.

    Antara ahli kumpulan ini termasuklah vokalis utama dan pemain gitar, Ijjojji Nordin, bersama Abdul Khaliq Idris, Afwan Haji Jali (lead guitar), Adam Qarwi Duke Nikal (pemain bes) dan Fadil Aminuddin (pemain dram).

    Otopsi Huru Hara, sentuhan terbaharu

    Ijjojji, semasa ditemui berkongsi mengenai koleksi album mereka yang terdiri daripada empat album. Album pertama ialah EP bertajuk Apple Rock Times pada tahun 2007, diikuti oleh Roket pada tahun 2012, Dominasi Sfera pada tahun 2014 dan album terbaharu mereka, Otopsi Huru Hara, yang baru dikeluarkan pada tahun ini.

    Persahabatan mereka sudah lama terjalin sejak di bangku sekolah menengah. – Gambar serahan Kumpulan Apple Rock Times
    Lima rakan ini terus memperjuangkan seni nyanyian mereka. – Gambar serahan Kumpulan Apple Rock Times
    Mereka sehingga kini kekal aktif dengan sesi jamming. – Gambar serahan Kumpulan Apple Rock Times
    Penghasilan CD sebagai simbol kejayaan mereka. – Gambar serahan Kumpulan Apple Rock Times
    Kenangan kumpulan Apple Rock Times semasa membuat persembahan di Anugerah Pelangi. – Gambar serahan Kumpulan Apple Rock Times

    Beliau menyatakan bahawa dalam industri muzik negara kita, konsep album berbeza dengan antarabangsa. Di Brunei, sebuah koleksi album boleh terdiri daripada empat atau lima lagu sahaja.

    Abdul Khaliq menjelaskan bahawa kumpulan mereka tetap berpegang kepada genre Indie Pop Rock. Lagu-lagu mereka lebih menumpukan kepada nilai-nilai sosial dan menggunakan bahasa sindiran untuk menonjolkan makna setiap lagu.

    Mengenai album Otopsi Huru Hara, Afwan mengungkapkan bahawa terdapat enam lagu di dalamnya iaitu Rona Neon Pasifik, Sangsi Hal Balkoni, Sfera Hati, Refleksi Api, K E L A S I dan Air dan Bunga. Tambahan pula, terdapat satu lagu rahsia yang hanya boleh didengar oleh mereka yang memiliki cakera padat (CD) album tersebut.

    Beliau juga menyatakan bahawa lagu-lagu dalam album terbaharu itu telah ditulis lebih awal dan belum dimasukkan ke dalam album sebelumnya. Misalnya, lagu Rona dan Refleksi telah dihasilkan pada tahun 2017.

    Lirik dan muzik dicipta oleh Adam Qarwi dan Ijjojji dengan bantuan Ewan Dinshe untuk meningkatkan kualiti keseluruhan susunan lagu dan rakaman. Meskipun masih belum ada muzik video rasmi, tetapi itulah perancangan mereka untuk masa depan.

    CD album bagaikan trofi kesuksesan

    Dalam pada itu, Adam Qarwi juga berkongsi bahawa kumpulan mereka sama seperti kumpulan lain yang terus aktif dengan sesi jamming dan sering membawakan lagu-lagu lama yang mereka cipta. Dalam perjalanan tahun demi tahun, lagu-lagu lama itu terus mendapat sentuhan segar dalam aspek muzik dan cara penyampaian, sejajar dengan perkembangan emosi dan pengalaman mereka dari semasa ke semasa.

    Beliau juga menyatakan bahawa sejak album Dominasi Sfera pada tahun 2014 hingga tahun 2022, ahli-ahli kumpulan mereka telah menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan gaya hidup. Ini telah memberi mereka kedewasaan dalam muzik yang mereka hasilkan hingga ke masa kini.

    Adam Qarwi menekankan kepentingan pengurusan masa, walaupun setiap ahli mempunyai tanggungjawab keluarga dan kerjaya, tetapi ia tidak menghalang mereka daripada terus berkarya. Mereka melakukan perbincangan, persediaan dan perancangan yang telah membawa kepada penghasilan CD album fizikal sebagai simbol kejayaan kumpulan mereka.

    Berkarya dengan izin-Nya

    Sementara itu, Fadil juga berharap dengan tulus bahawa jika diberikan peluang, mereka akan terus bersatu sebagai sebuah kumpulan selagi kesihatan dan kesejahteraan mereka terjamin. Mereka mempunyai rancangan untuk mencipta lebih banyak lagu bagi album akan datang.

    Di atas semua itu, beliau merenung kembali kepada perjalanan mereka yang bermula dari zaman sekolah dan terus berkembang bersama demi muzik. Keindahan perjalanan itu sukar untuk diungkapkan sepenuhnya dengan kata-kata. Mereka berharap bahawa koleksi lagu dan album yang mereka hasilkan selama ini akan menjadi sumber inspirasi dan khazanah yang akan dikenang dalam sejarah untuk generasi-generasi akan datang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...