KUALA LUMPUR, 3 SEPT – Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 berperanan penting dalam menyokong kerangka Ekonomi MADANI dan mencapai sasaran yang ditetapkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, antaranya sebagai peneraju ekonomi Asia dan berada di tangga antara 30 teratas ekonomi terbesar dunia dan 12 teratas bagi daya saing global.
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berkata NIMP 2030 akan menawarkan ekosistem yang sesuai bagi menyokong ekonomi dalam transformasinya sebagai sebuah negara perindustrian berteknologi tinggi, ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.
Menurutnya pendekatan berasaskan misi dalam NIMP 2030 yang menggalakkan kompleksiti ekonomi lebih tinggi, memanfaatkan teknologi dengan agresif serta diperkuatkan dengan prinsip kemapanan dan keterangkuman, adalah penting pada masa ini untuk mendorong Malaysia ke tahap perindustrian dan pertumbuhan selanjutnya.
“Pelan induk ini tertumpu dalam menggerakkan sektor pembuatan kita terhadap rantaian nilai kepada lebih banyak produk berteknologi tinggi, nilai tambahan tinggi dan kompleks serta membangunkan kemampuan teknologi negara, yang akan berperanan penting menyokong ekonomi pembuatan berteknologi tinggi.
“Ini kemudiannya akan menyediakan peluang pekerjaan lebih baik kepada rakyat Malaysia termasuk golongan belia dan pada masa sama membangunkan tenaga kerja dari segi kemahiran dan ilmu sebagai memenuhi keperluan tenaga kerja yang lebih berkemahiran tinggi untuk menyokong produk dan perkhidmatan lebih kompleks dan berteknologi tinggi,” katanya dalam kenyataan.
FMM berpandangan bahawa pelan induk itu perlu diterjemahkan kepada pekerjaan yang menawarkan gaji lebih tinggi dan pada masa sama membuka lebih banyak akses pasaran kepada pengilang tempatan termasuk pasaran yang menetapkan keperluan kepada produk dan perkhidmatan yang mematuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). – Bernama
