Pelakon Nina Kho berkongsi keterujaan memegang watak seorang mualaf yang memerlukan dia memakai tudung.
Nina atau Nina Kho Siew Ching, 33, berkata, walaupun sukar menyesuaikan diri namun merasakan wajahnya kelihatan cantik apabila menggayakan hijab.
“Saya rasa bila memakai tudung memang sangat cantik tapi saya pula tidak pandai nak menggayakan tudung. Saya jadi terfikir rakan-rakan yang pakai tudung memang sukar sebab kena tahan panas pula. Tapi saya rasa nampak cantik pakai tudung dan nampak suci malah ramai memuji apabila saya muat naik foto berhijab di media sosial,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Nina memberitahu dia tidak kisah membawakan watak wanita bertudung dan mengakui bukan mudah untuk menggayakannya dengan kemas. Tambahnya lagi, kini dia juga sudah memahami kenapa seseorang wanita itu perlu menutup aurat dalam Islam.
“ Saya tidak kisah untuk membawakan watak wanita bertudung kerana saya memang suka. Mak saya pun puji apabila anaknya cantik pakai tudung. Sejujurnya saya akui memang susah pakai tudung. Kalau tengok orang lain pakai macam senang sahaja, tapi bila nak lilit sendiri agak susah,” ujarnya.
Sementara itu, Nina menjelaskan masih banyak perkara perlu diperbaiki sebagai pelakon terutamanya memperbaiki komunikasi dalam bahasa Melayu. Ujar pelakon asal dari Sarawak ini, pengunaan dialek Hokkien dan bahasa Mandarin di rumah membuatkan dia sukar bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.
“Saya mula berlakon dalam drama Melayu sejak 2022. Saya memang ada meletakkan harapan tinggi untuk masuk ke pasaran drama Melayu. Saya rasa peluang itu ada tetapi perlu menambah baik lagi penggunaan bahasa Melayu kerana buat masa ini saya masih belum betul-betul fasih. Ia agak susah bagi saya,” katanya. – Agensi