Nina Nadira masih paranoid

Meskipun kerajaan Malaysia sudah memberikan beberapa kelonggaran dan membenarkan orang ramai menjalankan aktiviti harian sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun penyanyi dan pengacara Nina Nadira berkata dia masih lagi memilih untuk kekal berada di rumah.

Menurut Nina atau nama sebenar Nina Nadira Naharuddin, 27, dia masih belum ada keyakinan untuk berada di tempat awam kerana memikirkan keselamatan anak kecilnya yang baru berusia satu tahun.

“Saya memang tak keluar rumah melainkan ada urusan kerja, malah kawan-kawan pun saya tak jumpa sangat sebab masih rasa paranoid (takut) lagi-lagi pula ada anak kecil di rumah.”

“Situasi saya sekarang sama sahaja macam masa awal-awal PKP hari itu. Saya cuma keluar rumah untuk pergi kerja, dah selesai terus balik semula.

“Mungkin sudah terbiasa begitu dan apabila nak keluar rumah macam-macam kita fikirkan,” katanya kepada mStar.

Nina Nadira cuma keluar rumah untuk pergi kerja sahaja.

Nina berkahwin dengan Ahmad Farhan Rusman pada 29 Julai 2017 dan dikurniakan cahaya mata perempuan diberi nama Nina Lilyanna Ahmad Farhan pada 31 Mac tahun lalu.

Sementara itu, pengacara program hiburan MPop! ini berkata dia lebih banyak menghabiskan masa bersama anaknya dan selesa menyelesaikan beberapa tugasan secara dalam talian.

“Semenjak penularan pandemik COVID-19, banyak kerja-kerja pengacaraan tergendala, sekarang ini saya ada juga terima tawaran menyanyi di majlis perkahwinan orang secara online, satu benda baharu!” katanya.

“Sebelum ini saya ada terima tawaran membintangi teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) tetapi saya terpaksa menarik diri kerana bimbang tak boleh nak beri komitmen memandangkan jadual yang agak padat sebagai ibu,” tambahnya.

“Sekarang ini apa sahaja yang saya nak buat kena bahagikan masa antara keluarga dan kerjaya,” ujarnya. – Agensi