Penyanyi Ning Baizura, 49, mengakui tujuannya menyertai program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim ke-11 kerana mahu menghadiahkan momen indah buat ibunya, Satilah Abdullah, 81, yang mengidap penyakit dementia.
Ning berkata, dia mahu insan penting dalam hidupnya itu melihat dirinya kembali beraksi di layar kaca selepas sekian lama.
“Ibu sudah berusia dan menghidap penyakit dementia. Saya rasa ini adalah waktu terbaik untuk lihat anaknya keluar televisyen (TV).
“Rasa sebak sebab mungkin ibu tak ingat bila kali terakhir saya buat persembahan di TV, jadi inilah hadiah terbaik untuk saya berikan kepadanya.
“Ibu sudah sakit tiga tahun. Dia cergas, tapi saya sedih. Sebagai anak, saya hanya mampu memberinya kenangan terindah.
“Ini adalah antara kenangan terindah yang saya berikan kepada ibu supaya tak lupa dan boleh lihat persembahan anaknya sekali lagi. Dulu pun ibu adalah pengurus saya,” katanya pada sidang media pengumuman peserta GV11 di sebuah hotel di ibu negara Malaysia, kelmarin.
Pelantun lagu Awan Yang Terpilu itu memberitahu, dia mahu memberikan yang terbaik buat ibunya yang banyak membantu dirinya sehingga menjadi penyanyi berjaya ketika ini, lapor BH Online.
“Bukan menagih simpati, tapi ini saya buat untuk ibu. Untuk ibu melihat sekali lagi saya keluar TV. Ulang tahun ibu jatuh pada 1 Disember ini.
“Kalaulah saya masih kekal, ibu mahu datang untuk menonton persembahan saya. Mungkin dia tak tahu perasaan saya, tapi untuk orang di luar sana harus faham mengapa saya memilih jalan ini.
“Saya mahu memberikan yang terbaik kerana ibulah yang bertanggungjawab menjadikan siapa saya hari ini,” katanya. – Agensi