Nintendo catat keuntungan kukuh AS$3.7b

TOKYO, 10 MEI – Nintendo hari ini melaporkan keuntungan bersih yang kukuh untuk tahun kewangan sehingga Mac berdasarkan prestasi memberangsangkan konsol Switch, namun mengeluarkan ramalan yang hati-hati.

Ketidakpastian dikaitkan dengan kekurangan cip global dan penangguhan potensi pengeluaran dan pengangkutan berpunca daripada sekatan COVID mungkin menjejas keuntungan masa depan, kata syarikat permainan gergasi Jepun.

Firma itu, yang telah menerima faedah daripada beberapa judul popular termasuk ‘Pokemon Legends: Arceus’, mencatat keuntungan bersih berjumlah 477.7 bilion yen (AS$3.7 bilion) untuk 2021-22, merosot 0.6 peratus.

Namun ia menjangkakan keuntungan bersih untuk tahun kewangan semasa berjumlah 340 bilion yen, kemerosotan tahunan kira-kira 29 peratus.

Keuntungan Nintendo meningkat disebabkan permintaan permainan video melambung naik semasa pandemik serta kepopularan konsol Switch, yang dilancarkan pada Mac 2017.

Ia juga mengeluarkan Switch Lite pada 2019 dan Switch OLED, dengan grafik dan memori yang dinaiktaraf pada Oktober 2021.

Pertumbuhan dalam jualan konsol berkenaan ‘menunjukkan keseimbangan yang baik di antara setiap satu daripada tiga model individu tersebut,” kata Nintendo.

“Hasil prestasi produk perkakasan yang stabil secara keseluruhan menyumbang kepada jualan fiskal berjumlah 23.06 juta unit dalam tahun kewangan lalu,” tambahnya.

Nintendo berkata jualan perisian juga meningkat 1.8 peratus kepada 235 juta unit, ‘menjadikannya angka jualan perisian tahunan tertinggi pernah dicatat untuk platform Nintendo setakat ini.’ – AFP

Seorang pelanggan melihat permainan video dan aksesori Nintendo di sebuah kedai permainan di Tokyo pada 9 Mei 2022. – AFP