Friday, May 9, 2025
31.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nintendo jangka jual 15 juta Switch 2

    TOKYO, 8 MEI – Syarikat permainan Jepun, Nintendo meramalkan hari ini ia akan menjual 15 juta unit konsol Switch 2 yang dinanti-nantikan pada tahun kewangan semasa, namun memberi amaran bahawa tarif Amerika Syarikat (AS) mungkin memberi kesan kepada keuntungan syarikat.

    Konsol pengganti Switch, konsol ketiga paling laris selepas PlayStation 2 Sony dan Nintendo DS, dijangka dilancarkan di seluruh dunia pada 5 Jun.

    Walaupun Nintendo sedang memperluaskan perniagaannya ke taman tema dan filem, kira-kira 90 peratus hasil pendapatannya masih datang dari perniagaan Switch, kata penganalisis. Walau bagaimanapun, ramalan jualan unit itu lebih konservatif berbanding 16.8 juta yang dijangka dalam tinjauan oleh ahli ekonomi Bloomberg.

    Switch, peranti mudah alih yang juga boleh disambungkan ke TV, telah menjual kira-kira 150 juta unit sejak dilancarkan pada 2017.

    Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, Nintendo melaporkan penurunan 43.2 peratus dalam keuntungan bersih kepada AS$$1.9 bilion, ketika para pemain menunggu untuk membeli Switch 2.

    Nintendo meramalkan keuntungan bersih 300 bilion yen untuk tahun kewangan semasa, tetapi memberi amaran tarif perdagangan AS mungkin memberi kesan kepada pendapatannya.

    Syarikat itu juga mendedahkan harga Switch 2 yang lebih tinggi daripada Switch asal, iaitu AS$449.99 di pasaran utama termasuk AS, manakala versi untuk pasaran Jepun hanya berharga AS$350.

    Nintendo menangguhkan pra-tempahan Switch 2 di AS beberapa minggu lalu, bagi menilai kesan tarif perdagangan Presiden Donald Trump. Namun, mereka melaporkan permintaan yang lebih tinggi daripada jangkaan di Jepun. – AFP

    Logo Nintendo kelihatan di kedai rasmi syarikat di Tokyo, pada 7 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda