TOKYO, 1 Feb – Presiden Nintendo Co. Tatsumi Kimishima memberitahu wartawan hari ini syarikat itu komited untuk memberikan lebih banyak isi kandungan untuk telefon pintar, mendapati kejayaan “Pokemon Go,” permainan realiti telefon pintar, merangsang jualan permainan Pokemon dan mesin 3DS lain.
Ia membantu Nintendo, yang mencipta permainan Super Mario, melaporkan keuntungan yang lebih baik daripada dijangka dalam tempoh Oktober-Disember sebanyak 64.7 bilion yen, lebih dua kali ganda keuntungannya dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Pelabur tidak berasa kagum, menyebabkan saham Nintendo merosot 2 peratus dalam perniagaan Tokyo. Saham telahpun merosot apabila harga untuk Switch diumumkan pada awal bulan ini.
Pengeluar permainan video Jepun itu juga tidak mengubah sasaran asalnya untuk menjual 2 juta konsol Switch dalam bulan pertama selepas pelancarannya, meskipun spekulasi ia mungkin mensasarkan jualan yang lebih tinggi disebabkan tempahan awal yang laris.
Switch, alat permainan hibrid konsol-dan-dipegang tangan yang pertama, mulai dijual pada 3 Mac. Ia berharga $299.99, lebih mahal daripada yang dijangkakan oleh ramai orang.

Namun Kimishima berkata syarikat tidak mahu menanggung kerugian.
Pengeluar permainan sering mengekal harga yang murah, walaupun menanggung kerugian untuk setiap mesin yang dijual, dalam harapan merangsang jualan dan menebus kerugian kemudian dengan jualan perisian permainan.
Juga hari ini, Nintendo berkata pengeluaran konsol rumah Wii U telah berakhir untuk semua pasaran. Syarikat berkata sebelumnya ia merancang menamatkan pengeluaran Wii U namun tidak memberikan satu tarikh.
Nintendo berkata untuk mengekal keuntungan, ia akan melancarkan pelbagai permainan, yermasuk permainan untuk telefon bimbit, pada dua hingga tiga setahun.
Kimishima berkata minat semakin meningkat untuk Pokemon di kalangan kanak-kanak, termasuk mereka yang tidak pernah bermain permainan itu sebelumnya tetapi sedang bermain sekarang dengan ibu bapa yang membesar dengan Pokemon. Menghasil permainan Nintendo di peranti pintar juga sedang menarik pemain lebih muda, kata beliau.
“Sama ada kami boleh memujuk mereka untuk membeli perisian permainan kedua atau ketiga merupakan cabaran kami,” kata Kimishima. – AP