TOKYO, 4 NOV – Nintendo hari ini mengumumkan bahawa ia menyasarkan untuk menjual 19 juta konsol Switch 2 dalam tahun kewangan ini, meningkat daripada sasaran asal 15 juta bagi peranti permainan popular itu.
Switch 2 muncul sebagai konsol permainan terpantas terjual di dunia selepas pelancarannya pada Jun, mencetuskan kegilaan dalam kalangan peminat Super Mario dan judul terkenal lain.
“Perkakasan ini mencatat jualan kukuh sejak dilancarkan,” kata Nintendo sambil menaikkan ramalan keuntungan bersih tahunan kepada 350 bilion yen (AS$2.3 bilion) daripada 300 bilion yen.
Jualan permainan Mario Kart World dan Donkey Kong Bananza juga menunjukkan peningkatan stabil, menurut syarikat Jepun itu.
“Kami akan berusaha mengekalkan momentum judul-judul yang telah dikeluarkan dan secara berterusan memperkenalkan judul baharu untuk mengembangkan pangkalan pengguna platform,” tambahnya.

Walaupun Nintendo semakin meluaskan portfolio ke filem popular dan taman tema, konsol masih menjadi teras perniagaannya.
Switch versi pertama melonjak popularitinya ketika pandemik, dengan permainan seperti Animal Crossing mencuri perhatian ketika tempoh sekatan pergerakan panjang di seluruh dunia.
Switch 1 telah terjual sebanyak 154 juta unit sejak pelancarannya pada 2017, menjadikannya konsol ketiga paling laris sepanjang masa selepas Sony PlayStation 2 dan Nintendo DS.
Nintendo berkata hari ini bahawa ia telah menjual lebih 10 juta unit Switch 2 dalam separuh pertama tahun kewangan 2025-26. – AFP

