TOKYO, 3 OGOS – Nintendo melaporkan hari ini, lonjakan 52 peratus dalam keuntungan bersih suku pertama hasil jualan pantas permainan Zelda terbaharunya dan pengeluaran The Super Mario Bros. Movie.
Menjana pendapatan bersih AS$1.26 bilion, syarikat gergasi pemainan Jepun itu mengekalkan unjuran keuntungan bersihnya untuk tahun penuh hingga Mac 2024 pada 340 bilion yen.
The Legend of Zelda: Tears of the Kingdom mencatatkan ‘permulaan yang baik’ selepas dikeluarkan semula pada Mei, meraih jualan sebanyak 18.51 juta unit, kata Nintendo dalam satu kenyataan.
Kejayaan tajuk itu bukan sahaja membawa kepada ‘peningkatan ketara’ dalam jualan unit perisian, malah meningkatkan jualan perkakasan, tambah Nintendo.
Permainan yang menampilkan penggembaraan Puteri Zelda dan pahlawan seperti bunian, Link telah terjual 125 juta salinan di seluruh dunia sejak edisi pertamanya pada tahun 1986.
Penjualan pesat Zelda mengatasi jualan permainan blockbuster lain tahun ini, Hogwarts Legacy, berdasarkan siri Harry Potter, yang mengambil masa dua minggu untuk
mencatatkan 12 juta jualan. Keluaran April, The Super Mario Bros Movie, projek bersama studio Universal, Nintendo dan Illumination, terbukti menjadi satu lagi kejayaan bagi firma yang berpangkalan di Kyoto itu.
Ia menjadi filem pertama tahun ini yang melepasi sasaran global AS$1 bilion di box office. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P14-C-AFP_04082023.jpg)