Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nintendo Switch 2 catat jualan paling laris di dunia

    TOKYO, 1 OGOS – Nintendo berkata hari ini pendapatan suku tahunannya telah mencecah lebih daripada dua kali ganda berbanding tahun lalu, didorong oleh kejayaan Switch 2, yang menjadi konsol paling laris di dunia selepas dilancarkan pada bulan Jun.

    Permintaan tertangguh terhadap gajet baharu daripada pembuat permainan Super Mario itu telah mencetuskan keterujaan peminat semasa pelancarannya, yang menyaksikan pra-tempahan habis dijual dan kedai-kedai dibuka pada tengah malam.

    Switch 2 memecahkan rekod industri apabila sebanyak 3.5 juta unit dijual dalam tempoh empat hari pertama, dan Nintendo hari ini berkata ia telah menjual sekitar 5.8 juta konsol dalam bulan pertamanya.

    “Jualan bersih meningkat dengan ketara pada suku pertama, terutamanya disebabkan oleh pelancaran Nintendo Switch 2,” kata syarikat Jepun itu ketika melaporkan lonjakan jualan sebanyak 132 peratus tahun-ke-tahun bagi suku April-Jun kepada 572 bilion yen (AS$3.8 bilion).

    Keuntungan bersih bagi suku tersebut meningkat sebanyak 19 peratus berbanding tahun lalu.

    Nintendo melaporkan lonjakan pendapatan suku tahunan sebanyak 132 peratus berbanding tahun lalu, didorong oleh kejayaan Switch 2 yang menjadi konsol paling laris di dunia selepas dilancarkan pada bulan Jun. – AFP

    “Pelancaran Switch 2 telah mengatasi jangkaan ramai, dan sukar bagi mana-mana konsol lain untuk menandingi permulaannya yang kukuh, kata perunding industri permainan, Serkan Toto kepada AFP.

    “Nintendo dijangka dapat mengekalkan momentum ini dengan selesa sepanjang musim cuti dan sehingga tahun 2026,” walaupun cabaran utama adalah untuk memastikan bekalan permainan popular yang konsisten, tambahnya.

    Syarikat itu berkata ia menjangkakan akan menjual 15 juta unit Switch 2 menjelang akhir Mac 2026, sasaran yang dikekalkan pada Jumaat.

    Walaupun pembuat permainan Jepun itu kini turut menceburi filem box office dan taman tema, perkakasan konsol kekal sebagai teras perniagaannya.

    Switch 1, sebuah konsol hibrid yang boleh digunakan secara mudah alih atau disambungkan ke televisyen, meningkat popular semasa pandemik menerusi permainan popular seperti Animal Crossing.

    Sebanyak 152 juta unit telah dijual sejak dilancarkan pada 2017, menjadikannya konsol ketiga paling laris sepanjang zaman selepas PlayStation 2 keluaran Sony dan Nintendo DS.

    Walaupun Switch 2 hadir dengan skrin lebih besar, kuasa pemprosesan yang dipertingkat dan ciri baharu seperti pengawal yang juga boleh digunakan seperti tetikus komputer meja, konsep hibridnya kekal sama. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda