OSAKA, 6 JUN – Nintendo lancar konsol permainan terbaharunya, Switch 2 kelmarin, lapor Agensi Berita Kyodo.
Permintaan prapesanan yang sangat tinggi terhadap konsol terbaharu mereka selepas lebih lapan tahun memberi harapan besar kepada Nintendo, namun terdapat kebimbangan mengenai penjualan semula dengan harga yang lebih tinggi.
Nintendo menjangka akan menjual 15 juta unit Switch 2 di seluruh dunia sebelum Mac tahun depan.
Nintendo memaklumkan pada April bahawa mereka menerima sambutan yang lebih besar daripada jangkaan, dengan 2.2 juta orang di Jepun mendaftar untuk cabutan nombor giliran bagi peluang membeli konsol tersebut.
Switch yang terdahulu merupakan antara konsol paling berjaya Nintendo dengan lebih 150 juta unit terjual. Manakala Switch 2 adalah pengganti kepada Switch yang dikeluarkan pada 2017. Versi khas Jepun dijual pada harga 49,980 yen AS$350, manakala versi pelbagai bahasa berharga 69,980 yen.
Switch 2 termasuk ciri seperti perkongsian skrin dan resolusi lebih tinggi, serta menyokong output 4K di TV selain mempunyai mikrofon terbina untuk sembang suara.
Nintendo turut melancarkan permainan Mario Kart World bersama konsol ini. Presiden Nintendo, Shuntaro Furukawa, berkata mereka akan tingkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan tinggi
Di Tokyo, ramai yang menang cabutan nombor giliran beratur panjang sejak awal pagi untuk membeli Switch 2 di sebuah kedai elektronik di Ikebukuro. Sementara beberapa kedai atas talian dan laman lelong mengetatkan syarat untuk menghalang penjualan semula.
Bagaimanapun, tengah hari kelmarin, iklan Switch 2 dengan harga jauh lebih mahal muncul di laman Mercari – sehingga mencecah 800,000 yen.
Profesor Ken Naganuma dari Universiti Doshisha berkata, sukar untuk mengawal penjualan semula kerana ia tidak menyalahi undang-undang. Namun, beliau berpendapat syarikat wajar mengambil langkah untuk melindungi nilai jenama mereka berikutan menjadi masalah sosial. – Bernama/Kyodo
