Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nintendo: Tiada model Switch baharu 2020

    TOKYO, 31 JAN – Syarikat permainan Jepun Nintendo berkata hari ini ia tidak mengeluarkan model baharu untuk konsol Switch paling larisnya pada tahun ini, melenyap harapan peminat yang tidak sabar-sabar untuk mendapatkan versi baharu.

    “Kami tidak mempunyai rancangan untuk melancarkan model Nintendo Switch baharu pada 2020,” beritahu presiden Shuntaro Furukawa pada satu taklimat di Tokyo.

    Persaingan dalam industri itu dijangka semakin sengit pada tahun ini tatkala Sony bersedia untuk melancarkan PlayStation 5 generasi akan datang untuk musim Krismas, dan dengan telefon bimbit 5G dijangka menawarkan permainan lebih canggih.

    Namun Furukawa berkata kitaran hayat Switch dan jumlah pelanggan adalah berlainan daripada konsol pesaing.

    “Tindakan perniagaan syarikat yang lain tidak akan menjejas perniagaan kami,” kata beliau.

    Shuntaro Furukawa menyampaikan ucapan ketika taklimat keputusan kewangan syarikat di sebuah hotel di Tokyo kelmarin. – AFP

    Konsol Switch asal, hibrid yang boleh digunakan untuk permainan yang dipegang tangan atau disambung kepada skrin di rumah, telah menjadi amat popular.

    Ia sedang memasuki tahun keempatnya, yang disifatkan oleh Furukawa sebagai ‘peringkat awal hayat pertengahannya.’

    Namun jualannya masih kukuh dengan judul perisian yang popular.

    Pada September lalu, Nintendo juga melancarkan versi konsol yang lebih murah, dipanggil Switch Lite, yang merupakan peranti dipegang tangan. Jualannya juga amat memberangsangkan.

    Pada Disember, firma di Kyoto di sebalik Super Mario dan Pokemon mengeluarkan model Switch di China menerusi Tencent untuk merangsang pengguna dunia.

    Selepas pasaran saham ditutup semalam, syarikat melaporkan pertambahan dalam jualan dan keuntungan untuk sembilan bulan sehingga Disember, mempertingkat ramalan keuntungannya berdasarkan permintaan kukuh untuk konsol Switch.

    Namun saham merosot lebih daripada empat peratus pada hari ini.

    “Pendapatannya agak baik tetapi jangkaan pasaran adalah lebih tinggi,” kata Makoto Sengoku, penganalisis pasaran di Institut Penyelidikan Tokai Tokyo. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda