TOKYO, 10 FEB – Nippon Steel akan mengemukakan ‘cadangan berani’ dalam usaha mereka untuk melabur dalam US Steel, kata jurucakap utama kerajaan Jepun, hari ini, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan bahawa beliau akan mempertimbangkan untuk membenarkan syarikat tersebut mengambil saham minoriti dalam firma Amerika itu.
Bekas Presiden AS, Joe Biden, telah menyekat perjanjian bernilai ASD14.9 bilion tersebut sejurus sebelum beliau meninggalkan jawatan bulan lalu, dengan alasan keselamatan negara. Tindakan itu mencetuskan tuntutan mahkamah bersama dari kedua-dua syarikat berkenaan dan turut mendapat kecaman daripada Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba.
Trump, yang bertemu dengan Ishiba pada Jumaat lalu di White House, berkata syarikat-syarikat itu akan ‘menilai pelaburan, bukannya pembelian’.
Kelmarin, Trump, yang pernah mengkritik tawaran pengambilalihan tersebut semasa kempen Pilihan Raya Presiden 2024, menyatakan bahawa beliau akan membenarkan ‘pelaburan’ dalam syarikat tersebut.
“Tiada siapa yang boleh memiliki saham majoriti dalam US Steel. Mereka boleh melakukannya dengan syarikat-syarikat lain, tetapi bukan dengan US Steel,” kata Trump kepada wartawan. “Namun, mereka dibenarkan untuk melabur dan itu berbeza”.
Trump turut menambah bahawa pasukannya akan bertemu dengan eksekutif Nippon Steel untuk ‘orang tengah dan menyelesaikan pertikaian’.
Hari ini, Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi, memberitahu sidang media, “kami faham bahawa Nippon Steel tidak melihat perkara ini sebagai sekadar pengambilalihan”.
“Tetapi mereka sedang mempertimbangkan cadangan berani yang sangat berbeza daripada apa yang pernah kita lihat sebelum ini supaya ia akan menghasilkan produk yang lebih unggul yang diingini oleh AS dan seluruh dunia, sekali gus mewujudkan situasi menang-menang untuk kedua-dua negara,” tambahnya.
Namun begitu, beliau tidak memberikan butiran lanjut. Nippon Steel enggan memberikan ulasan berhubung kenyataan Trump. – AFP
