Monday, July 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nippon Steel selesaikan pengambilalihan US Steel

    NEW YORK, 19 JUN – Nippon Steel telah menyempurnakan pengambilalihan syarikat US Steel bernilai berbilion dolar kelmarin, memberikan kuasa istimewa mirip kuasa veto kepada Washington melalui pemilikan ‘golden share’.

    Pengumuman ini menamatkan satu episod yang bermula pada Disember 2023 apabila Nippon Steel bersetuju untuk mengambil alih syarikat ikonik dalam industri keluli Amerika Syarikat (AS) itu dengan nilai AS$14.9 bilion.

    Langkah pengambilalihan sepenuhnya itu telah mencetuskan penentangan politik merentas parti, termasuk daripada Presiden Donald Trump, yang secara terbuka menentang cadangan itu sepanjang kempen pilihan raya presiden 2024.

    Namun pada bulan lalu, Trump mengubah pendiriannya dan menyifatkan usaha yang dikemas kini itu – yang sebelumnya disekat oleh bekas Presiden Joe Biden atas alasan keselamatan negara – sebagai satu perkongsian dan bukannya satu pengambilalihan.

    Perjanjian keselamatan negara antara syarikat-syarikat terlibat dan kerajaan AS menetapkan bahawa pelaburan baharu sebanyak kira-kira AS$11 bilion akan dibuat menjelang tahun 2028.

    ‘Golden share’ yang dimiliki Washington – bukan bersifat ekonomi – memberi hak kepada kerajaan untuk melantik seorang pengarah bebas serta kuasa untuk meluluskan atau menolak cadangan pengurangan bajet modal dan beberapa kuasa lain.

    Ketua Pegawai Eksekutif Nippon Steel, Eiji Hashimoto berkata hari ini di Tokyo bahawa perjanjian ini ‘tidak akan menghalang aktiviti yang kami ingin jalankan’.

    “Perjanjian ini amat memuaskan bagi kami kerana ia memastikan kebebasan pengurusan… yang penting untuk pelaburan perniagaan,” kata Hashimoto kepada wartawan. – AFP

    Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Nippon Steel, Eiji Hashimoto menghadiri sidang media di ibu pejabat syarikat itu di Tokyo, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda