TOKYO, 4 SEPT – Syarikat keluli Jepun, Nippon Steel Corp hari ini mengumumkan menarik balik saman di Amerika Syarikat (AS) berkaitan pengambilalihan US Steel Corp, sekali gus menamatkan semua litigasi di AS berhubung urus niaga itu.
Pengeluar keluli terbesar Jepun itu, yang memuktamadkan pengambilalihan US Steel pada Jun lalu memaklumkan saman sivil yang difailkan terhadap pesaingnya, Cleveland-Cliffs Inc dan pihak lain yang menentang urus niaga bernilai AS$14.1 bilion itu telah ditarik balik.
Pada Januari, Nippon Steel menyaman Cleveland-Cliffs, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lourenco Goncalves serta pemimpin kesatuan United Steelworkers (USW), David McCall berhubung dakwaan tindakan haram mereka bagi menghalang pengambilalihan itu.
Sementara itu, USW juga menarik balik aduan yang difailkan kepada sebuah agensi pentadbiran bebas di AS terhadap US Steel, yang mendakwa syarikat itu mengugut pekerja agar tidak menentang rancangan pengambilalihan, menurut Nippon Steel.
Nippon Steel dan US Steel dalam kenyataan bersama menjelaskan mereka akan ‘terus memberi tumpuan kepada industri keluli dan rundingan bersama.’ – Bernama


