Nishikori raih kemenangan Terbuka Itali

ROM, 15 SEPT – Pemain Jepun Kei Nishikori meraih kemenangan pertamanya dalam setahun pada kejohanan Terbuka Itali semalam dengan bekas pemain separuh akhir Rom Grigor Dimitrov dan Marin Cilic juga memasuki pusingan kedua kejohanan gelanggang tanah liat.

Nishikori memerlukan enam mata penamat untuk menewaskan pemain Sepanyol Albert Ramos-Vonolas 6-4, 7-6 (7/3) dalam masa dua jam di sebalik pintu tertutup di Foro Italico untuk kemenangan pertamanya sejak memasuki pusingan ketiga Terbuka AS 2019.

“Sudah lama sejak Terbuka AS tahun lalu,” kata pemain berusia 30 tahun itu, yang memasuki tiga suku akhir Grand Slam pada 2019 sebelum menjalani pembedahan siku.

“Saya masih tidak mempunyai keyakinan tetapi sedikit demi sedikit saya menjadi lebih baik.”

Nishikori akan bertemu sama ada juara Grand Slam tiga kali Stan Wawrinka, atau pemain Itali Lorenzo Mussetti, tatkala dia mempertingkat tahap prestasinya menjelang kejohanan Terbuka Perancis pada akhir bulan ini.

Aksi Kei Nishikori semasa bermain menentang Albert Ramos-Vinolas dari Sepanyol pada hari pertama kejohanan Internazionali BNL D’Italia di Foro Italico pada 14 September 2020 di Rom, Itali. – AFP

Pemain Jepun itu tidak beraksi pada kejohanan gelanggang keras di AS, memilih memanaskan diri di gelanggang tanah liat di Kitzbuehel, Austria pada minggu lalu.

“Rasa teruk kerana terlepas kejohanan besar Grand Slam, bagaimanapun tahun ini akan berasa pelik,” katanya.

“Saya mahu kembali untuk Terbuka AS dan Cincinnati, tetapi saya rasa saya belum bersedia untuk bermain lima set, maka saya memilih untuk bermain di Austria pada minggu lalu.

“Saya rasa saya akan sembuh beransur-ansur. Ia akan mengambil masa, namun saya gembira kerana berada di sini di Rom.

“Hari ini adalah lebih baik daripada perlawanan pada minggu lalu. Saya boleh katakan dua kali lebih baik.” – AFP