Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nissan dijangka tamat perbincangan bergabung dengan Honda

    TOKYO, 6 FEB – Nissan Motor Co dijangka menamatkan perbincangan penggabungan dengan Honda Motor Co susulan penolakan terhadap cadangan Honda baru-baru ini untuk menjadikannya sebagai anak syarikat, hanya sebulan selepas rundingan dimulakan mengenai perjanjian yang berpotensi mewujudkan pengeluar kenderaan ketiga terbesar di dunia, lapor agensi berita Kyodo.

    Menurut sumber yang mengetahui perkara itu kelmarin, kedua-dua syarikat automotif itu mengumumkan pada Disember bahawa mereka bersetuju untuk meneroka kemungkinan penggabungan di bawah sebuah syarikat induk menjelang 2026 sambil mengekalkan jenama masing-masing.

    Langkah itu bertujuan mengurangkan kos dan berkongsi beban kewangan yang semakin meningkat dalam pembangunan kenderaan elektrik serta perisian bagi menyaingi pesaing global seperti Tesla Inc dan BYD Co dari China.

    Bagaimanapun, sumber berkata Honda yang mempunyai jumlah jualan dan modal pasaran lebih besar, baru-baru ini mencadangkan supaya Nissan menjadi anak syarikatnya − satu cadangan yang mendapat tentangan kuat dalam Nissan.

    Perbincangan penggabungan itu timbul ketika Nissan sedang melalui proses penstrukturan semula, dengan Honda dilaporkan berusaha mendapatkan kawalan kerana bimbang isu berpanjangan yang dihadapi Nissan boleh menjejaskan masa depannya, menurut sumber.

    Namun, Nissan bimbang bahawa menjadi anak syarikat Honda akan menjejaskan autonominya secara signifikan.

    Pada sidang media Disember lepas, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nissan, Makoto Uchida menegaskan bahawa tiada syarikat akan mendominasi penggabungan itu, dengan menekankan bahawa kedua-duanya akan berada pada kedudukan setara. – Bernama/Kyodo 

    Lambang Nissan Motor dilihat di bilik pameran di Tokyo kelmarin. Nissan dikatakan tidak mahu bergabung dengan Honda. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda