TOKYO, 15 JULAI – Pengeluar automotif yang bergelut, Nissan telah mengumumkan hari ini syarikat mereka akan menghentikan pengeluaran di kilang Oppama, Jepun pada akhir tahun 2027.
Nissan turut mencatat kerugian bersih sebanyak AS$4.5 bilion tahun lalu dan telah mengumumkan rancangan untuk mengurangkan 15 peratus daripada tenaga kerja globalnya.
“Pengeluaran kenderaan di kilang Oppama akan dihentikan pada akhir tahun 2027,” kata Nissan dalam satu kenyataan.
Syarikat itu turut memaklumkan pengeluaran dari kilang yang terletak di luar Yokohama itu akan dipindahkan ke sebuah kilang sedia ada lain di pulau selatan Jepun, Kyushu.
Pengeluar kenderaan yang dibebani hutang itu, kini sedang melaksanakan pelan pemulihan perniagaan yang mahal selepas rancangan penggabungannya dengan pesaing Jepun, Honda, gagal awal tahun ini.
Pada Mei lalu, Nissan mengumumkan mereka akan ‘menggabungkan kilang pengeluaran kenderaan daripada 17 kepada 10 menjelang tahun fiskal 2027’.
Seperti banyak pengeluar lain, Nissan kini menghadapi cabaran hebat untuk bersaing dengan jenama kenderaan elektrik dari China.
Nissan turut berdepan pelbagai masalah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk penahanan bekas ketua eksekutif Carlos Ghosn pada 2018, yang kemudiannya melarikan diri dari Jepun bersembunyi dalam kotak peralatan audio.
Tahun ini, Nissan telah membatalkan rancangan pembinaan kilang bateri bernilai AS$1 bilion di selatan Jepun yang baru sahaja dipersetujui sebelum ini, disebabkan ‘persekitaran perniagaan yang mencabar’.
Daripada pengeluar kereta utama Jepun, Nissan dilihat paling terkesan dengan tarif 25 peratus yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke atas kenderaan import dari Jepun awal tahun ini. – AFP


