Nissan kekal operasi kilang kereta UK

LONDON, 24 JAN – Pengeluar kereta Jepun, Nissan mengesahkan bahawa ia akan mengekalkan operasinya di Britain ekoran perjanjian perdagangan pasca Brexit di antara negara dan Kesatuan Eropah (EU).

Berita itu disambut baik oleh Perdana Menteri Britain Boris Johnson sebagai ‘undi percaya.’

Masa depan kilang kereta Nissan di timur laut bandar England diragui berikutan pengundian Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) pada Jun 2016, keputusan yang mungkin membawa kepada pengenalan tarif dan kuota perniagaan di antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, selepas rundingan berbulan lamanya, UK dan EU mencapai perjanjian perdagangan pasca Brexit pada akhir 2020 yang bermakna tidak adanya lagi tarif atau kuota yang dikenakan. Bagaimanapun, terdapat sekatan perdagangan lain seperti pemeriksaan kastam dan pengisian borang yang jelasnya akan menambah kos.

Ketua pegawai operasi Nissan, Ashwani Gupta berkata perjanjian menjamin masa depan syarikat di Sunderland, di mana ia menggaji 6,000 pekerja.

“Sunderland adalah satu daripada tiga kilang teratas dunia untuk daya saing bagi Nissan,” kata beliau dari Jepun.

Johnson mengalu-alukan komitmen itu, berkata ia merupakan ‘berita hebat’ untuk tenaga kerja serta masa depan pengeluaran kenderaan elektrik dalam negara.

Menjelang akhir 2023, semua kereta Nissan yang dijual di Eropah akan mempunyai versi elektrik, menurut Gupta, menambah ia kini terpulang kepada pelanggan untuk memutuskan betapa cepat mereka beralih daripada enjin pembakaran tradisional kepada versi elektrik. – AP

Gambar fail menunjukkan pekerja berjalan ke kilang kereta Nissan di Sunderland, England. Nissan mengesahkan ia akan mengekalkan operasinya di Britain selepas perjanjian perdagangan pasca Brexit di antara negara dan Kesatuan Eropah. – AP