TOKYO, 7 NOV – Pengeluar automotif Jepun, Nissan, hari ini mengumumkan pengurangan 9,000 pekerja serta menurunkan ramalan jualan tahunan, mengatakan bahawa syarikat itu sedang mengambil tindakan segera bagi menangani ‘situasi yang sangat serius’.
Syarikat itu melaporkan kemerosotan 93 peratus dalam keuntungan bersih pada separuh pertama tahun ini, dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Makoto Uchida memberitahu wartawan jualan lemah di pasaran Amerika Utara merupakan faktor utama kepada prestasi lembap itu.
Nissan dan pesaing domestiknya juga bergelut untuk bertahan di China, di mana firma kenderaan elektrik yang berkembang pesat yang disokong oleh Beijing mencatat kemajuan yang memberangsangkan.
“Berdepan situasi yang serius, Nissan sedang mengambil tindakan segera untuk memulihkan prestasinya dan mewujudkan perniagaan yang lebih cekap dan berdaya tahan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran dengan cepat,” kata kenyataan syarikat itu.
“Nissan akan mengurangkan kapasiti pengeluaran global sebanyak 20 peratus dan mengurangkan tenaga kerjanya sebanyak 9,000 orang,” tambahnya.
Uchida ‘akan melepaskan 50 peratus daripada gajinya bermula November ini dan ahli jawatankuasa eksekutif yang lain juga akan mengurangkan gaji mereka dengan sukarela,’ menurut kenyataan itu.
Syarikat itu kini meramalkan jualan bersih sebanyak 12.7 trilion yen, lebih rendah daripada 14 trilion yen yang diramalkan sebelumnya. – AFP